utama

Demi peminat, karier

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MENJULANG trofi Anugerah Juara Lagu ke-32 dan 33 meletakkan nama Hael Husaini sebagai penyanyi dan komposer muda paling berjaya ketika ini.

Meski kejayaan itu diperoleh selepas 12 tahun pembabitannya dalam dunia seni, Hael, 32, atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi menganggap ia rezeki dan menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk berkarya.

Jika dibandingkan dulu dan sekarang, kerjaya dan populariti diraih Hael ketika ini jauh ke depan sekali gus meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Malah, ramai meletakkan Hael antara penyanyi muda yang berstatus eksklusif setanding penyanyi senior lain.

“Kalau ada yang beranggapan sedemikian, tentu saja saya berasa bangga dan berterima kasih sebab dihargai sebegitu. Tak salah jadi eksklusif kepada peminat.

“Ini kerana, sudah jadi tugas artis untuk menjadi seeksklusif yang mungkin demi peminat dan karier.

“Lagi pun, rezeki saya datang selepas 12 tahun dalam industri selepas berusaha keras,” katanya.

Namun, setiap kejayaan yang diraih sedikit pun tidak mengubah jati diri Hael. Malah, harga yang diletakkan pihak pengurusan untuk persembahan juga masih masuk akal.

“Mahal? Tidaklah. Kalau mahal tidak mungkin saya dapat banyak tawaran menyanyi. Saya pun tidak pernah tahu berapa harga saya.

“Apa saya tahu diberikan kerja dan bekerja. Hanya mereka yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana cara saya bekerja.

“Kalau nak tahu, kena bekerjasama dulu dan jangan cepat menilai. Ini kerana soal harga bukan bidang kuasa saya tetapi pengurusan. Bagi saya semua ini boleh dibawa berbincang,” katanya.

DARI ZERO KE HERO

Perjalanan untuk menjadi Hael Husaini hari ini bukan mudah. Bagi peminat yang baru mengenali dan meminati, Hael bukan sepertinya kebanyakan penyanyi baharu lain yang muncul dengan satu single dan terus berjaya.

Hael sebelum ini pernah menjadi penyanyi latar di RTM, menyertai pelbagai pertandingan realiti, menyanyi secara duo sebelum memilih untuk bergerak solo.

“Perjalanan seni saya bukan semudah difikir dan dilihat. Keluar single pertama terus berjaya, tidak.

“Sebenarnya, peminat yang tahu dari dulu sampai sekarang saya bermula dengan kosong. Asalnya saya tidak pandai menyanyi tapi minat nyanyian dan muzik. Saya belajar sedikit demi sedikit sampai sekarang.

“Saya sudah cuba semua perkara. Saya pernah menjadi penyanyi latar di RTM, menyertai pelbagai pertandingan realiti, menyanyi secara duo dan akhirnya selepas 12 tahun baru menjadi.

“Selepas kumpul pengalaman, syukur Allah berikan rezeki saya. Dalam masa sama saya sudah bersedia melangkah lebih jauh dan jadilah saya sekarang,” katanya.

Hael menganggap, pencapaian sekarang hadiah atas keikhlasan dan kerja keras selama ini.

“Selepas mencuba semuanya, mungkin ini hadiahnya. Dulu sekecil mana pun persembahan dan tidak berbayar sekali pun saya sanggup lakukan, apatah lagi sekarang apabila sudah sampai tahap ini, saya cakap kepada pengurusan bahawa saya hanya nak menyanyi dan tidak mahu fikir soal lain termasuk bayaran.

“Asal saja saya ada kerja dan boleh menghiburkan orang, itu sudah cukup. Ini kerja yang saya nak buat. Bangun pagi saya nak menyanyi. Jadi apa salahnya saya gunakan apa yang saya ada untuk orang sekeliling.

“Saya tak kisah mahu menyanyi di mana sekali pun. Di kampung atau di jalanan sekali pun. Tak ada masalah jika itu komitmen kerja saya pada hari itu. Memang tak ada masalah,” katanya.

PERTARUH HARI INI

Selepas tiga lagu sebelum ini berjaya menambat hati peminat, terbaharu Hael muncul dengan lagu Hari Ini.

Mengulangi kejayaan lagu terdahulu, Hari Ini hasil ciptaan bersama Ezra Kong berjaya mencatat lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh seminggu.

“Alhamdulillah, lagu Hari Ini lebih satu juta dalam seminggu. Saya harap semua orang dapat menyelami lagu ini.

“Sebelum ini saya keluar dengan lagu yang agak agresif, nakal dan berbunyi Hael tetapi kali ini lain sikit. Kiranya, daripada Jampi, Hajat dan Haram, penamat ceritanya adalah Hari Ini iaitu mereka bahagia,” katanya.

Hael berkongsi, lagu itu mendapat reaksi positif terutamanya daripada pasangan suami isteri.

Hael berkata, mereka banyak berkongsi pengalaman yang dapat dikaitkan dengan lagu baharunya itu.

“Lagu sebelum ini banyak mendapat perhatian golongan muda. Kali ini, saya sendiri terkejut apabila rata-rata yang memberikan maklum balas mereka yang sudah berkahwin.

“Mereka berkongsi mengenai pengalaman berumah tangga dan bagaimana dugaan serta kenangan sepanjang perkahwinan.

“Ada suami berkongsi dengan saya mengenai isterinya yang menghidap kanser. Menurutnya, video muzik lagu Hari Ini begitu dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 6:30am
d