utama

'Perintah berkurung' masuk hari kedua [METROTV]

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

EPISOD berbalas serangan yang berterusan antara pejuang Palestin dengan tentera Israel di Gaza sejak Jumaat malam hingga pagi Ahad menyebabkan 41 peserta misi kemanusiaan ‘Miles of Smiles’ dikenakan 'perintah berkurung' di dalam hotel.

Ketika berita ini ditulis, sudah masuk hari kedua peserta misi termasuk wartawan Harian Metro bersama Muslim Care Malaysia, tidak dibenarkan langsung keluar dari hotel biarpun untuk ke masjid yang terletak tidak sampai 100 meter.

Pada ketika sama, siri serangan bom yang dilancarkan Israel turut membabitkan kawasan pusat bandar dan setakat ini meragut lapan nyawa penduduk Palestin termasuk bayi perempuan berusia 14 bulan serta ibunya yang hamil enam bulan.

Situasi ini menimbulkan keresahan kepada penduduk tempatan, adakah peperangan yang tercetus pada 2014 akan berulang.

Ini kerana serangan kali ini ada persamaan dengan detik hitam lima tahun lalu kerana berlaku ketika Ramadan dan bom serta peluru berpandu disasarkan ke kawasan penempatan orang awam hingga mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Siri serangan Israel ke Semenanjung Gaza kali ini bermula pada Jumaat malam sejurus berakhirnya perhimpunan mingguan Great March of Return (GMR) di Malakah yang terletak di timur Semenanjung Gaza.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tentera Israel dipercayai bertindak balas selepas seorang tenteranya cedera ditembak pejuang Palestin.

"Kejadian itu berlaku di lokasi GMR di Malakah pada petang Jumaat dan pada sebelah malam Israel mula melancarkan serangan bom bertalu-talu termasuk di pusat bandar," katanya yang juga satu-satunya rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, ketika serangan ke pusat bandar hingga mengorbankan bayi berusia 14 bulan dikenali sebagai Seba Abu Arar dan ibunya berusia 37 tahun, dia berada hanya kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

"Ketika itu saya sedang melakukan kerja amal dengan menyerahkan bantuan makanan untuk menyambut Ramadan sebelum terdengar letupan kuat di kawasan yang dinamakan Zaitun.

"Saya difahamkan rumah dua beranak yang mati dibom itu terletak hampir dengan sasaran utama iaitu sebuah pusat latihan untuk pejuang Palestin," katanya yang juga penuntut jurusan Syariah di Universiti Gaza.

Menurutnya, sumber daripada Kementerian Kesihatan Palestin merekodkan 50 mangsa cedera akibat serangan tentera Israel itu dan menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, mengikut maklumat yang dipaparkan di media Palestin pula pejuang Palestin melepaskan tidak kuramg 250 bom roket ke arah Israel sepanjang 36 jam lalu sebagai serangan balas.

Berita berkaitan:

  • Letupan 50m dari hotel [METROTV]
  • Perhimpunan darah, air mata [METROTV]
  • Cabaran 16 jam ke Gaza [METROTV]
  • Sukarelawan misi Miles of Smiles tiba di Gaza [METROTV]
  • Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 3:41pm
    d