utama

Sering dibelasah hingga gila

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BUKAN mudah mengarahkan sebuah drama yang diangkat daripada kisah benar.

Inilah cabaran yang dilalui pengarah Nazir Jamaluddin apabila diberi tanggungjawab mengarah telefilem berjudul Insan Terpilih.

Penerbit, Aniq Communication percaya pada kebolehan Nazir untuk memberikan nafas cerita yang pernah tular di Klang suatu ketika dulu bagi mengisi slot Telemovie TV3 pada Jun ini.

Nazir mengakui berdepan pengalaman berbeza apabila mengarahkan telefilem terbabit.

“Ini kisah mengenai orang kurang siuman atau lebih tepat lagi orang gila. Ia sangat rapat dengan pengalaman sendiri kerana saya pun mempunyai keluarga begini yang cara kehidupannya sejak kecil dibelasah, dihenyak oleh orang tua dulu sehingga membesar dalam keadaan tak betul.

“Itu pengalaman saya tapi kalau dalam Insan Terpilih, penulis skripnya dapat idea daripada kisah benar berkenaan Hussein gila,” katanya.

Nazir tidak menggunakan kisah itu sebagai rujukan, sebaliknya mengarah mengikut caranya sendiri, namun masih berpandukan skrip asal.

“Saya bagi input terbaik merangkumi syot drama, lokasi dan plot cerita supaya tak terlalu terarah kepada kisah benar.

“Tapi tak dinafikan sedikit sebanyak isi kandungan Insan Terpilih ada persamaan dengan kisah benar Hussein gila dan kalau penonton tengok, mereka pasti akan kaitkan dengan cerita itu. Saya memang ambil bahagian itu sikit tapi bukanlah semua,” katanya.

Nazir berkata, dia mengagumi penghayatan setiap pelakon dalam watak mereka terutama Syazwan Zulkifly yang membawakan watak Firdaus iaitu orang kurang siuman.

“Syazwan bergandingan dengan Jay Iswazir yang menang dalam Anugerah Skrin baru-baru ini. Kami tampilkan watak Jay untuk menampakkan Firdaus bukan hidup bersendirian tapi mempunyai seorang kawan yang sentiasa bersamanya.

“Saya cuba mencantikkan cerita ini dengan idea sendiri. Masalah berlaku membabitkan Syazwan apabila beberapa hari sebelum penggambaran, dia sukar mencari konsep gila yang perlu dibawakan.

“Merata-rata dia merayau untuk ‘menjadikan’ dirinya gila dan gila bagaimana perlu dibuat. Gila pun ada macam-macam jenis,” katanya.

Ketika penggambaran hendak dimulakan, Syazwan masih tercari-cari konsep gila itu dan sukar merujuk contoh gila yang perlu dibawakan.

“Nak tak nak, akhirnya kami pilih gila yang umum supaya orang tak kata, dia asalnya gila macam mana, kenapa dia jadi begitu dan sebagainya.

“Tapi untuk cerita ini memang saya ‘highlight’ dia seorang yang normal ketika kecil. Namun akibat dipukul, dihentak dan dikasari oleh orang tua, otaknya bergegar buat dia jadi tak betul. Ketika penggambaran, boleh dikatakan Syazwan sendiri hampir gila untuk memikirkan cara bagaimana nak bawa watak orang gila,” katanya.

Dalam pada itu, Nazir seronok bekerjasama dengan semua pelakon yang terbabit kerana memberikan kerjasama terbaik untuk Insan Terpilih.

“Semua pelakon beri 100 peratus komitmen. Mereka hormat antara satu sama lain. Tiada siapa yang mengaku diva.Saya pernah bekerja dengan semua pelakon drama ini kecuali Jay Iswazir dan Liza Othman. Alhamdulillah mereka tahu cara saya bekerja dan memudahkan penggambaran dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 4:30am
d