utama

Bantu kawal ekonomi kelab

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Inisiatif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memperkenalkan peraturan kawalan ekonomi ke atas semua pasukan Liga Malaysia adalah langkah tepat dan mampu membendung isu tunggakan gaji.

Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara, Ivan Codina berkata, kaedah sama yang sudah dilaksanakan La Liga sejak 2012 menyaksikan perubahan drastik terutama dalam mengawal perbelanjaan pasukan sesebuah pasukan.

“Bukan mudah untuk melaksanakan peraturan baharu seperti ini dan ia memerlukan langkah demi langkah untuk pastikan setiap pasukan memahami tujuan utama ia diterapkan dan bukan untuk membebankan.

“Tiga peringkat utama amat penting di mana pasukan perlu terlebih dahulu diberi penerangan sepatutnya mengenai kawalan ekonomi ini sehinggalah mereka benar-benar memahami peraturan itu dan denda yang akan dikenakan sekiranya ada yang tidak mematuhi ketetapan berkenaan.

“Benar, tidak semua pasukan akan menyokong sekiranya MFL melaksanakan peraturan ini, tetapi sudah menjadi tugas badan pentadbir memastikan setiap pasukan faham kesan positif jangka panjang sepertimana yang dipraktikkan La Liga sendiri dalam usaha menangani masalah kewangan,” katanya.

Pada masa sama, Codina tidak menolak ada kelab dan pasukan yang suka berbelanja lebih daripada kemampuan mereka untuk mendapatkan pemain bintang.

“Salah satu tujuan utama wujudnya kawalan ekonomi adalah untuk memastikan semua pasukan hanya dibenarkan berbelanja mengikut kemampuan kewangan pasukan. Ini bagi mengelakkan masalah pembayaran gaji pemain apabila ada pasukan yang berbelanja sesuka hati dengan menawarkan gaji besar di luar kemampuan.

“Sememangnya pasukan tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan mereka kerana ia akhirnya akan memberi mudarat kepada pemain pula sekiranya tidak mendapat gaji pada waktu yang sepatutnya.

“Seandainya pasukan atau kelab sudah diberitahu peruntukan sebenar mereka untuk satu musim, saya percaya masalah ini akan berkurangan kerana mereka pastinya sudah tahu untuk menguruskan pasukan dengan jumlah yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, MFL bercadang untuk menggunakan kaedah sama dalam saingan liga tempatan bagi menangani isu tunggakan gaji yang semakin kronik hingga menjejaskan pendapatan dan kebajikan pemain.

Kes terbaharu mengenai isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Perlis yang dibatalkan penyertaan dalam Liga Perdana musim ini selepas gagal melunaskan tunggakan gaji tiga bulan sejak Disember lalu biarpun beberapa peringatan sudah diberikan kepada pasukan itu.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 5:30am
d