utama

Keluar zon 'nak buat apa'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS tamat kontrak sebagai penyampai radio Hot FM Februari lalu, pelakon dan pengacara, Azizul Ammar Abu Hassan, 30, atau Ammar Titan perlu mencari alternatif bagi memastikan kelangsungan kerjaya seninya.

Ammar yang juga juara program realiti Bintang Mencari Bintang 2013 sebelum ini tidak dapat menumpukan perhatian terhadap bidang lakonan dan lawak kerana terikat dengan komitmen sebagai penyampai sepenuh masa di Hot FM.

Ammar berkata, sebaik kontraknya bersama Hot FM tamat dia berada dalam zon ‘mahu buat apa’.

“Berdepan situasi seperti ini saya perlu mencari alternatif dan keluar dari zon selesa. Saya kembali menghadiri sesi uji bakat dengan beberapa pengarah. Situasi yang saya hadapi kini agak sukar, tapi tidak mengapa kerana apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.

Ammar berkata, Sabri Yunus selaku mentornya dan Fauziah Ahmad Daud banyak membantu.

“Sebaik saja kontrak tamat saya berpeluang mengacara program Spotlight yang dikendali dan diterbitkan Fauziah Ahmad Daud,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan diberikan rakan anggota Titan iaitu Issey, Ammar berkata, rakan baiknya itu selalu mengingati dirinya jika ada tawaran diterima.

“Saya terharu dengan usaha mereka membantu saya. Issey selalu mencadangkan nama saya kepada penerbit sekiranya ada tawaran berlakon. Sabri juga memanggil saya berlakon dalam arahannya jika ada watak dirasakan sesuai.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan yang menyertai program Bintang Bersama Bintang kerana pembabitan saya berlawak bersama mereka di atas pentas membuatkan peminat mengingati kembali bahawa saya juga pelawak.

“Jika rakan pelawak tidak memberi ruang tidak mungkin saya memperoleh peluang seperti sekarang,” katanya.

Ketika tampil sebagai pelawak jemputan dalam program itu, Ammar membantu Achey dan Mamak untuk muncul juara mingguan.

Menurut Ammar, sepanjang dia bertugas sebagai penyampai radio, peluang berlakon terbatas kerana ada banyak pihak terutama penerbit sangsi sama ada dia boleh berlakon dan bagaimana mereka mahu mengatur jadual.

Terbaharu, Ammar muncul bersama Sherry sebagai pengacara mengendalikan program Jom Kejar Bersama Panasonic bermula 16 Mei ini di TV3.

Selain itu, Ammar juga bakal terbabit penggambaran sitkom terbaharu, Kafe Pop Yeh Yeh bersama Datuk AC Mizal, Shuk Balas dan Izzue Islam.

Ditanya mungkinkah dia akan kembali sebagai penyampai radio sekiranya mendapat tawaran, kata Ammar, dia tidak keberatan menerimanya.

“Bagaimanapun, kalau boleh saya mahu mengendalikan program pagi sebagai penyampai radio kerana untuk kembali biar apa yang kita lakukan itu ada peningkatan. Program pagi di radio cabarannya lebih besar,” katanya.

Ammar berkata, dia mahu terus menjadi pengacara di samping mengembangkan bakat dalam bidang lakonan termasuk di pentas teater kerana dia memulakan kerjaya dari situ.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 6:00am
d