utama

Rosman, Jerome sain arahan

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa semua arahan pemindahan wang di antara Putra Perdana Construction dan Permai Binaraya Sdn Bhd ditandatangani oleh pengarah syarikat itu.

Saksi ke-31, Penolong Pengurus Maybank Cawangan Kuala Lumpur, Halijah Abdul Wahab, 46, mengesahkan bahawa ia ditandatangani oleh Datuk Rosman Abdullah dan Jerome Lee Tak Loong.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau mengesahkan bahawa arahan pemindahan wang dalam akaun Maybank milik syarikat antara Julai 2014 hingga Januari 2015 ditandatangani oleh Rosman dan Lee.

Terdahulu, berdasarkan dokumen pembukaan akaun, Halijah mengesahkan bahawa Putra Perdana Construction sebelum ini dikenali sebagai Kamunting Construction Sdn Bhd sebelum ditukar nama mulai 17 September 1998.

SHAFEE: Merujuk kepada borang pembukaan akaun Permai Binaraya pada 2 Julai 2014, boleh sahkan siapa Rosman dan Lee?

HALIJAH: Mereka adalah penandatangan bagi akaun syarikat itu.

SHAFEE: Kiranya semua arahan untuk pemindahan wang, akaun dan cek adalah arahan dan memerlukan tandatangan mereka berdua?

HALIJAH: Ya, benar.

SHAFEE: Setuju saya katakan bahawa bagi syarikat Putra Perdana Construction dan Permai Binaraya, pengarahnya adalah Rosman?

HALIJAH: Ya, benar.

SHAFEE: Lee juga adalah pengarah dalam Permai (Binaraya)?

HALIJAH: Sebagai pengarah saya tidak pasti, tetapi sebagai penandatangan saya pasti.

SHAFEE: (Merujuk kepada dokumen Permai Binaraya) Boleh sahkan mereka berdua adalah pengarah syarikat?

HALIJAH: Ya, benar.

SHAFEE: Bagaimana dengan Putra Perdana Construction, adakah Lee juga pengarah syarikat itu?

HALIJAH: Saya tidak pasti.

Permai Binaraya adalah anak syarikat Putra Perdana Development Sdn Bhd manakala Putra Perdana Construction adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Sementara itu, saksi ke-32, Ketua Bahagian Penyelesaian Perbendaharaan Maybank, Noor Lina Mahmud mengesahkan bahawa berhubung beberapa transaksi wang antara akaun milik Putra Perdana Construction, Permai Binaraya, SRC International, dan Najib menggunakan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas).

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei, saksi itu berkata, terdapat resit pengesahan transaksi mengesahkan wang berjumlah RM35 juta daripada akaun SRC International dipindahkan ke akaun Putra Perdana Construction pada 8 Julai 2014.

Beliau turut mengesahkan terdapat resit pengesahan transaksi berjumlah RM105 juta daripada SRC International ke Putra Perdana Construction pada 14 Julai 2014.

Selain itu, Noor Lina turut mengesahkan enam transaksi termasuk pemindahan wang berjumlah RM27 juta daripada akaun Permai Binaraya ke akaun milik Najib pada 8 Julai 2014.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 6:30am
d