utama

Kasih ayah tiada batas agama

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“SETIAP hari jam 5 pagi saya akan kejutkan anak saya bersahur, walaupun berbeza agama, saya mahu dia taat kepada perintah Tuhan," kata Lim Hun Kheng, 44.

Bapa kepada Mohammad Firdaus Hong Abdullah, 12, ini melakukan rutin hariannya untuk Ramadan kedua bagi anak sulungnya yang memeluk Islam atas kerelaan diri sendiri sejak Mac tahun lalu.

Katanya selepas bersahur, dia akan pastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantar ke sekolah termasuklah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

"Saya tidak pernah menghalang Firdaus memeluk Islam, saya memberi sokongan dan semangat kepadanya sebagai seorang bapa.

"Walaupun aktiviti hariannya padat, saya tetap mahu Firdaus mendalami agama Islam dan membenarkan dia berkawan dan belajar agama dengan keluarga angkatnya," katanya yang berketurunan Tionghua.

Sementara itu, Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong berkata, dia sangat seronok menanti kedatangan bulan Ramadan apabila dapat menunaikan solat sunat Tarawih di masjid atau surau bersama rakan-rakan.

Katanya, pada sebelah petang selepas kelas KAFA, bapanya akan membawa dia ke bazar Ramadan untuk membeli juadah kegemarannya iaitu ayam bakar.

"Itu antara aktiviti yang saya tunggu-tunggu di bulan Ramadan, namun yang lebih penting sejak memeluk Islam, saya sudah mendapat jawapan terhadap soalan yang bermain di fikiran saya sebelum ini, antaranya bagaimana manusia wujud dan manusia berasal dari mana.

"Saya juga suka mendengar kisah-kisah nabi, ajaran Islam memberi ketenangan kepada saya, malah puasa juga melatih sifat sabar dalam diri seorang Muslim," katanya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Kubang Pasu.

Ditanya mengenai kebolehannya membaca al-Quran, Firdaus berkata, dia kini sudah menganjak ke Iqra’ Tiga dan sudah menghafal bacaan di dalam solat.

Jika ada masa terluang terutama ketika hujung minggu dia akan berkunjung ke rumah datuk angkatnya Aziz Isa, 63, yang tinggal di Pulau Timbul, di Jitra untuk mempelajari agama.

"Di sana saya akan belajar solat berjemaah termasuklah mempelajari agama, saya sangat suka dengan kehidupan saya sekarang.

"Ramai yang mengambil berat tentang saya, guru-guru sekolah juga sering membantu saya, pihak sekolah sudah membeli baju raya untuk saya," katanya yang tinggal di Pekan Tunjang, Jitra.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 9:04am
d