utama

Orang lama tetap laris

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN kerjaya lakonan tempatan kini didominasi pelakon baharu yang lengkap dengan pakej, jangan sesekali memandang rendah bintang senior.

Walaupun kurang dari aspek populariti, dengan berpaksi bakat lakonan mantap, mereka masih kekal laris di pasaran.

Berdekad membina karier, siapa sangka dengan kehebatan bakat dimiliki melayakkan mereka bertahan hingga kini.

Ikuti perkongsian berkaitan 10 pelakon ‘senior yang masih laris’ dan menjadi perhatian

kebanyakan produksi tempatan yang memerlukan khidmat bakat mereka.

Datuk Rahim Razali

Enam dekad bergelar anak seni, pencapaian Rahim hingga kini masih mantap dan aktif dalam lakonan.

Memiliki suara lunak, pelakon yang juga popular sebagai pengarah filem dan pengulas sukan ini cukup diminati ramai hingga kini.

Berusia 80 tahun, beliau masih kerap muncul di televisyen sama ada membintangi iklan komersial atau drama bersiri.

Sudah membintangi lebih 30 filem, antara filem popular lakonan dan arahannya ialah Abang, Tsu Feh Sofia, Matinya Seorang Patriot, Anak Sarawak, Abang 92, Munafik, Ola Bola, Pulang dan Munafik 2.

Wan Hanafi Su

Mula menceburi karier seni pada 1978 dan sudah empat dekad Wan Hanafi Su terus bertahan mengekalkan namanya sebagai pelakon berkaliber tanah air.

Kini berusia 69 tahun, bakat anak jati kelahiran Besut, Terengganu ini ternyata masih berbisa, luar biasa dan laris di pasaran.

Tidak putus menerima tawaran berlakon, kualiti lakonan Wan Hanafi Su sudah dibuktikannya dengan pelbagai watak dilakonkan.

Malah, beliau juga sudah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2005 menerusi drama Anak Penarik Beca dan Anugerah Skrin 2013 untuk drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman.

Faizal Hussein

Mewarisi bakat seni ibu bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail, nama Faizal tetap menjadi pilihan utama untuk filem walaupun semakin berusia.

Pada usia 52 tahun, Faizal kekal berada di puncak sebagai pelakon lelaki yang banyak mendapat peluang berlakon filem.

Faizal juga diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festval Filem Malaysia ke-25 pada 2012 menerusi filem Bunohan pada usia 45 tahun.

Mula berlakon seawal usia lima tahun dengan membintangi filem Darah Panglima pada 1972, Faizal cukup dikenali dengan watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986.

Siapa sangka, Faizal masih bertahan sebagai ‘hero senior’ hingga kini.

Datuk Rosyam Nor

Walaupun sudah berstatus ahli perniagaan berjaya, pembabitan Datuk Rosyam Nor dalam lakonan masih didambakan peminatnya.

Tiga dekad memahat nama sebagai pelakon, banyak karya lakonan Rosyam dilihat begitu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Ia dibuktikan Rosyam, 52, dalam lakonannya menerusi telefilem seperti Mawar Putih Tanda Perpisahan pada 2014, Terputusnya Sebuah Doa (2016) serta Pendosa Ingin Ke Syurga (2018).

Lebih cenderung membintangi karya terbitan syarikat produksinya sendiri, Rosyam masih ‘relevan’ menjadi hero dalam drama.

Datuk Jalaluddin Hassan

Kerjaya lakonan Datuk Jalaluddin bermula ketika dia berusia lewat 30-an dan hingga kini kekal bertahan serta masih diminati ramai.

Seiring dengan usia yang mencecah 65 tahun, watak bapa cukup sinonim dengan beliau dan baru-baru ini melonjak menerusi drama Nur 2 di TV3.

Anak kepada tokoh agama terkenal, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ini cukup berkesan dengan watak Ayah Haji Mukhsin lakonannya dalam Nur 2.

Bagaimanapun, yang pasti pembabitan Jalaluddin dalam bidang pengacaraan juga diingati menerusi program Who Wants to Be a Millionaire? pada 2000 hingga 2002.

Fauziah Nawi

Layak digelar ‘pelakon air mata’, lakonan Fauziah Nawi, 66, sentiasa meruntun jiwa untuk karya membabitkan kekeluargaan.

Hampir lima dekad bergiat aktif dalam karier lakonan termasuk aktivis teater, Fauziah berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun, yang pasti Fauziah juga giat terbabit dengan kelas lakonan bagi membantu menggilap bakat pelakon baharu berpotensi.

Kini, lakonan Fauziah sebagai Puan Asmah dalam drama adaptasi novel, Curi-Curi Cinta begitu menjadi perhatian.

Normah Damanhuri

Menghampiri empat dekad bergiat aktif sebagai pelakon, Norman Damanhuri juga berada dalam kelompok ‘pelakon senior’ masih laris.

Mampu melakonkan apa saja watak, persembahan Normah tidak pernah menghampakan penonton walaupun menjadi wanita lorong atau watak seram.

Apa yang pasti, Normah cukup menarik perhatian ramai terutama kanak-kanak menerusi drama Misteri Wan Paeh pada 2017.

Walaupun terpalit cerita sensasi membabitkan anaknya, bakat lakonan Normah tetap jadi perhatian.

Jasmin Hamid

Biarpun raut wajahya nampak tegas, lakonan Jasmin untuk watak komedi berjaya menjadi tarikan penonton.

Cukup dikenali dengan watak Minah Senget pada 1991, Jasmin juga membuktikan keupayaannya melakonkan watak komedi menerusi drama Datin Wan Abe pada 2008.

Memiliki bakat lakonan tersendiri, Jasmin yang hingga kini laris membintangi drama dilihat begitu menjaga penampilan diri.

Pada usia mencecah 47 tahun, Jasmin tetap langsing dan bergaya. Tiga dekad aktif dalam karier seni, Jasmin sudah membintangi lebih 200 drama.

Sheila Mambo

Bermula sebagai pelakon komedi, diam tak diam Sheila Mambo sudah membina karier seninya hampir empat dekad sejak era 1980-an.

Walaupun tidak banyak kisahnya mendapat pendedahan media, Sheila atau nama sebenar Rusilawati Hasan tetap aktif berlakon.

Seiring usia yang mencecah 56 tahun, kini Sheila begitu cenderung dengan watak ibu dan lakonan mantapnya dibuktikan menerusi drama Andainya Takdir pada 2017.

Sheila juga pernah membuktikan lakonan terbaiknya dalam filem seperti Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Anak Mami Kembali yang begitu mendapat pujian.

Delimawati

Mula menceburi lakonan pada 1987, nama Delimawati melonjak popular menerusi telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel arahan Mamat Khalid pada 1998.

Terus bersinar di bawah karya arahan Mamat, wanita berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini begitu jadi perhatian dalam filem seram dengan jenama Hantu Kak Limah.

Namun begitu, lakonan Delimawati, 61, dalam drama juga tidak mengecewakan terutama melakonkan watak sedih dan komedi.

Bagaimanapun, Delimawati yang masih laris muncul dengan drama terbaharu sempena Ramadan ini berjudul Cari Aku Di Syurga di TV3.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 4:30am
d