utama

Cahaya Firdaus

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JITRA: “Setiap hari jam 5 pagi saya kejutkan anak bersahur. Walaupun kami berbeza agama, saya tetap mahu dia taat kepada perintah Tuhan,” kata Lim Hun Kheng, 44.

Bapa Mohammad Firdaus Hong Abdullah, 12, ini melakukan rutin harian untuk Ramadan kali kedua bagi anak sulungnya yang memeluk Islam atas kehendaknya sendiri Mac tahun lalu.

Selepas bersahur, dia pastikan anaknya solat Subuh sebelum menghantarnya ke sekolah termasuk Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) pada waktu petang.

“Saya tidak pernah halang Firdaus memeluk Islam. Saya beri sokongan dan semangat kepadanya sebagai bapa.

“Walaupun aktiviti hariannya padat, saya tetap mahu Firdaus mendalami Islam. Saya juga membenarkan dia berkawan dan belajar agama dengan keluarga angkatnya,” katanya yang berketurunan Tionghua.

Lim mengakui pergaulan anaknya dengan masyarakat Melayu sejak kecil mendedahkan Mohammad Firdaus kepada agama Islam dan menunjukkan minat terhadap Islam sejak tadika.

“Dia balik cerita macam-macam pasal Islam, tapi saya ingat dia masih budak jadi saya biar dahulu untuk melihat kesungguhannya.

“Dalam peperiksaan Pendidikan Islam tahun dua pun dia dapat gred A, padahal ketika itu cikgu tak ajar dia pun.

“Dia cuma dengar dan tengok saja, tapi boleh jawab. Cikgu kelas pun terkejut sampai panggil isteri saya ke sekolah.

“Sehingga ketika di tahun lima, baru saya dan isteri izinkan dia masuk Islam. Kami termasuk guru sekolah menemaninya ke pejabat Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) cawangan Kubang Pasu untuk mengucap dua kalimah syahadah,” katanya di rumah mereka di Pekan Tunjang.

Bagi Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong, dia seronok menjelang Rama kerana dapat solat Tarawih di masjid atau surau bersama rakan.

Katanya, pada waktu petang selepas kelas Kafa, bapanya membawa dia ke bazar Ramadan untuk membeli juadah kegemarannya iaitu ayam bakar.

“Itu antara aktiviti yang saya tunggu di bulan Ramadan, namun lebih penting sejak memeluk Islam, saya dapat jawapan apa yang saya fikir sebelum ini.

“Saya selalu fikir bagaimana manusia wujud dan asal-usul manusia. Saya juga suka dengar kisah Nabi, dan puasa latih saya jadi sabar,” katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Kubang Pasu.

Ditanya mengenai kebolehannya membaca al-Quran, Firdaus berkata, dia kini beralih ke peringkat bacaan Iqra 3 dan sudah menghafal bacaan solat.

Jika ada masa terluang pada hujung minggu, dia ke rumah datuk angkatnya Aziz Isa, 63, di Pulau Timbul, untuk belajar agama.

“Saya belajar solat berjemaah termasuk hukum agama, saya suka dengan kehidupan saya sekarang.

“Ramai yang ambil berat mengenai saya, guru sekolah juga sering membantu dan membeli sepasang baju raya untuk saya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 6:00am
d