utama

Bunuh bapa kerana harta

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

HANYA disebabkan mahukan harta, dua anak lelaki dipercayai sanggup memukul bapa mereka sehingga mati di rumah mereka di Taman Bercham Sinar, Ipoh kelmarin.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 56 tahun meninggal dunia semalam ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa dibawa ke HRPB oleh ambulans selepas pengsan di rumahnya sebelum menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

“Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala mangsa akibat hentakan dan salah seorang anak mangsa membuat laporan mengesyaki dua adiknya berusia 20 dan 21 tahun memukul bapa mereka sehingga pengsan.

“Siasatan awal setakat ini mendapati punca adalah kerana mahukan harta dan pengadu yang juga abang kedua-dua suspek ketika temubual memberitahu bapanya pernah mengadu dipukul oleh kedua-dua suspek serta wang simpanannya diambil,” katanya.

Mazuki berkata, abang kedua-dua suspek itu tidak tinggal bersama bapa mereka dan hanya mengetahui bapanya dibawa ke HRPB akibat pengsan melalui adik perempuannya.

Menurutnya, mayat mangsa dibedah siasat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 2:04pm
d