utama

Anak OKU 'teman' mayat bapa hampir seminggu

Oleh Nor Farhani Che Ad

KANAK-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) percakapan ditemui lemah di sebuah rumah bersama mayat bapanya di Taman Sri Wang, Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu 6 petang.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kita dapati pintu pagar hadapan rumah mangsa dalam keadaan berkunci.

“Selepas pintu pagar dibuka dan kita masuk ke rumah itu, kita menemui mayat dalam keadaan terlentang di ruang tamu dipercayai mati dalam tempoh lima hingga enam hari lalu berdasarkan keadaan fizikal mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan turut menemui kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di salah sebuah bilik tidak berkunci.

Adzli berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya dipercayai kerana tidak makan tujuh hari.

Beliau berkata, difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu hanya tinggal bersama anaknya itu sejak tujuh tahun lalu selepas isterinya yang juga warga Vietnam kembali ke negara asal.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

“Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada guru sekolah bagi tujuan rawatan dan penjagaan.

“Mayat bapanya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 4:43pm
d