utama

Wira mula dunia sinematik

Oleh Amirul Haswendy Ashari

APABILA sentuh mengenai ‘cinematic universe’ (dunia sinematik), paling terkenal pastilah Marvel Cinematic Universe (MCU) yang dimulakan jenama Marvel sejak lebih sedekad lalu.

Kelihatannya filem Malaysia juga mula ke arah itu dengan adanya idea bernas daripada pasukan produksi pengarah Paskal, Adrian Teh yang mahu memulakannya melalui filem Wira.

“Pasukan kami sedang mencipta satu dunia sinematik, jadi Wira akan menjadi permulaannya dan dalam filem itu nanti akan ada telur ‘Easter’ pada kredit akhir sama macam dalam semua filem Marvel sebelum ini.

“Telur ini akan menjadi pengenalan kepada dunia sinematik yang kami cuba buat dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Dia melihat akan ada dalam lingkungan tiga ke lima judul yang hadir dalam dunia sinematik Wira.

Adrian berkata idea itu diperoleh ketika penggambaran filem Paskal dua tahun lalu.

Katanya, idea itu adalah untuk membuat dunia sinematik mengenai ‘unsung heroes’ (hero tidak didendang).

“Kami belum mengumumkannya secara besar-besaran mengenai apa yang kami akan lakukan tetapi sudah ada perancangan ke arah itu.

“Wira akan menjadi cerita yang berdiri sendiri tetapi apabila terarah ke akhir cerita, ia akan mengalir secara semula jadi. Kredit itu adalah pengenalan kepada dunia sinematik yang kami cuba lakukan,” katanya.

Ditanya mengapa selesa memilih Hairul sebagai tunjang utama Wira, tanpa berselindung Adrian menyifatkan ia jawapan mudah.

Katanya, apabila mengambil keputusan untuk mengarah filem ini, nama Hairul ialah pelakon pertama difikirkannya.

Alasannya, mudah bekerjasama dan ketika penggambaran Paskal lalu, Hairul sudah membuktikan kewibawaannya sebagai pelakon aksi.

Selain itu, Adrian turut menjelaskan perbezaan ketara Paskal dan Wira sebagai dua judul berbeza dari segi ‘look and feel’, bukannya sebuah filem sekuel atau prekuel.

“Paskal mengenai anggota Paskal yang korbankan masa dan nyawa untuk negara serta ia sebuah tema yang besar.

“Manakala Wira pula sebaliknya, mengenai seorang komando yang bersara awal sebab mahu balik kampung untuk menyelamatkan keluarga. Ia adalah sebuah cerita ‘mikro’ mengenai kehidupan seorang askar,” katanya.

Adrian sejak dulu mahu mengarah filem aksi seperti itu kerana sebelum ini dia banyak mengarah karya komedi, romantik dan seram dalam dan luar negara.

Namun, sejak menghasilkan Paskal dua tahun lalu, dia mula mengubah fokus kepada genre aksi yang disifatkan menyeronokkan.

Katanya, untuk menghasilkan sebuah filem aksi menarik, dia percaya pihak produksi perlu banyak masa untuk perancangan, koreografi dan penggambaran.

“Untuk beli ‘masa’, kami perlu bajet besar. Sebelum Paskal dulu, saya rasa tiada pelabur yang percaya kepada saya untuk buat filem ini, ia soalan yang realistik.

“Selepas Paskal, mereka (pelabur) tanya apa saya nak buat? Saya kata, jom buat filem aksi lagi,” katanya.

Adrian akui filem Wira bukan sebuah naskhah yang sukar kerana premis ceritanya ringkas. Katanya, dia bercerita mengenai sebuah kisah ringkas tetapi punya impak kuat.

Mengulas cabaran menghasilkan filem yang menelan belanja RM8 juta itu, Adrian tanpa berselindung akui terlalu banyak.

“Contohnya, lokasi ini (Sentul Port) ada air bertakung. Kami sudah bayar enam angka untuk sewa tempat ini tapi kami dapati tempat ini ada masalah air bocor di banyak tempat.

“Pihak pengurusan pula tidak mahu bertanggungjawab dan minta kami mengatasi masalah itu sendiri.

“Bayangkan kalau kita sewa satu bilik dan tidak ada apa masalah. Apabila sudah masuk baru tahu bilik itu ada masalah, jadi siapa kena tanggung? Penyewa atau tuan rumah?” soalnya.

Dia akui pihaknya ada mencadangkan untuk mereka baiki bersama dan bil dibahagi dua.

Malangnya, Adrian mendakwa pihak pengurusan tempat itu tidak bersetuju dan berikan syarat terima atau lepaskan.

Disebabkan enggan buang lebih banyak masa untuk mencari lokasi baru, pihak produksi terpaksa membelanjakan lebih RM50,000 untuk proses pembaikan sementara di lokasi itu.

Cabaran lain dilalui adalah mengenai penggunaan ‘shot’ kamera yang sebelum ini dianggap mustahil.

“Saya paksa pengarah fotografi dan kesan khas sampai mereka marah kepada saya kerana ia terlalu mustahil untuk dilakukan.

“Setakat ini shot yang sukar itu kami berjaya buat termasuklah shot hingga Hairul cedera tempoh hari. Shot itu mengambil masa tiga hari untuk dirakam,” katanya.

Selain shot di luar kotak, produksi mereka juga bertuah dapat menggunakan kren dikenali ‘techno crane’ yang masih baru dalam kerja-kerja produksi.

Katanya, Wira adalah filem kedua menggunakan teknik rakaman menggunakan kren itu setakat ini.

“Sejujurnya, saya tidak boleh letak harapan terlalu tinggi untuk filem Wira pecah panggung seperti Paskal sebab ia di luar kawalan saya.

“Apa pun saya memang sasarkan mahu menghasilkan filem yang boleh dibanggakan sebagai karya aksi Malaysia bertaraf dunia.

“Penonton yang letak harapan tinggi kepada saya, maknanya mereka sangat teruja menantikan hasil kerja saya,” katanya berharap tidak menghampakan mereka.

Persiapan untuk filem ini sudah bermula sejak Januari lalu dengan proses penggambaran bermula sekitar awal April di Lembah Klang, Rawang dan Kajang.

Selain Hairul, Wira turut dibintangi Henly Hii, Fify Azmi, Josiah Hogan, Hilal Azman, Dain Said, Yayan Ruhidan dan Ismi Melinda.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 5:31am
d