utama

Bella kembali menyanyi

Oleh Norhayati Nordin

SEDAR kehidupan seharian perlu dilayari dengan kegembiraan dan kebahagiaan, Bella Astillah, 25, kini rancak mengatur perjalanan karier seninya.

Bella yang juga isteri kepada pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz nekad mahu aktif semula dalam bidang nyanyian yang diminati sejak kecil.

“Saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak kerana amat meminatinya. Kali terakhir saya merakamkan lagu ialah pada 2007 iaitu Diari Ramadhan untuk lagu tema drama Diari Ramadhan Rafique di TV3.

“Saya memang sudah lama teringin merakamkan lagu lagi, cuma saya sabar dan menunggu peluang tiba,” katanya.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, dia bersyukur rezekinya untuk kembali menyanyi masih ada apabila bakal melancarkan lagu baharu hasil ciptaan Mark Adam dan lirik tulisan Keroz pada Jun nanti.

“Bagaimanapun, saya akan pastikan tidak membuat keputusan terburu-buru untuk memperkenalkan lagu ini. Sebagai penyanyi baharu yang ingin memulakan langkah, saya perlu mengatur perancangan yang tepat, teliti dan kena dengan masa,” katanya.

Bagaimanapun, Bella belum bersedia berkongsi cerita mengenai lagu terbaharunya itu.

BUAT KUIH RAYA, LUPA MASALAH RUMAH TANGGA

Sepanjang Ramadan ini, Bella bersama ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih raya yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Katanya, tahun ini dia menyasarkan untuk menyiapkan 300 balang beberapa jenis kuih raya.

“Kuih yang paling mendapat sambutan ialah batang buruk. Setiap tahun ia pasti mencatat tempahan tertinggi berbanding kuih lain,” katanya.

Menurut Bella, selain ibu, dia turut dibantu adiknya untuk menyiapkan semua tempahan itu. Disebabkan itu, masanya agak terhad untuk melakukan aktiviti lain selagi tempahan kuih raya belum disiapkan.

Bella berkata, kesibukan itu secara tidak langsung membantu dia melupakan seketika masalah rumah tangganya dengan suami.

“Apa yang saya lakukan sekarang semuanya demi anak tersayang, Mohamad Ayden Adrean yang akan berusia dua tahun tidak lama lagi.

“Ayden adalah sumber kekuatan saya dan pemangkin semangat meneruskan kehidupan. Saya mahu Ayden sentiasa gembira,” katanya.

Bella berkata anaknya itu sangat rapat dengan dia dan suami. Jika Aliff berada di Singapura, Bella akan pastikan membuat panggilan video untuk anaknya.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 5:30am
d