utama

Pengurusan manja!

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai atasan persatuan bola sepak (FA) negeri mendedahkan dia pernah membantu penjaga gol pasukannya untuk menyelesaikan masalah disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berikutan kegagalan membayar cukai pendapatan.

Beliau berkata, pemain itu yang juga tonggak Harimau Malaya ketika itu mahu ke luar negara, namun gagal melepasi pemeriksaan imigresen disebabkan rekod hitam.

“Saya pernah tolong bayarkan untuk pemain itu di lapangan terbang kerana disekat oleh LHDN sebab gagal bayar cukai,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, masalah itu berlaku kerana pengurusan lama terlalu memanjakan pemain dengan gaji melampaui kemampuan persatuan hingga wujud kontrak kedua yang berjaya dihidu LHDN.

“Semua pemain dalam pasukan ketika itu sudah mempunyai ikatan kontrak dengan pengurusan lama, jadi bila saya masuk saya hanya meneruskan kontrak lama membabitkan gaji yang sudah dipersetujui sebelum ini.

“Gaji pemain memang tinggi dari RM30,000 sampai RM55,000 sebulan. Tapi ada seorang pemain yang saya tolong bayarkan cukainya kerana sangkut kat ‘airport’.

“Sebab itu bila masuk musim baharu ini (2019), saya turunkan gaji pemain dan mana yang tak nak ikut saya terpaksa lepaskan mereka,” katanya.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan, negara kehilangan hampir jutaan ringgit setahun gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemain yang menyembunyikan status gaji mereka kepada LHDN.

Malah, ada antara pemain yang sebenarnya berstatus jutawan dengan memiliki aset bernilai jutaan ringgit, tapi maklumat yang diisytiharkan kepada LHDN adalah sebaliknya.

Difahamkan, pemain berstatus bintang yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya hanya menerima sekitar RM180,000-RM240,000 semusim, bersamaan dengan RM15,000-RM20,000 sebulan.

Bagaimanapun, apabila LHDN menyemak aset yang dimiliki pemain bintang berkenaan, ada antara mereka mempunyai rumah dan kereta mewah bernilai jutaan ringgit yang sebenarnya tidak mampu dimiliki oleh pemain yang sekadar meraih pendapatan dari RM180,000-RM240,000 semusim.

“Sejak saya masuk, memang saya arahkan supaya persatuan mengikut garis panduan yang betul agar tidak memberi implikasi teruk kepada persatuan dan pasukan.

“Untuk tujuan itu, pasukan mengambil pilihan berhemah dengan menawarkan gaji mengikut kemampuan dan kantung persatuan. Bukan saja persatuan dapat berjimat malah kita ikut saluran undang-undang yang betul,” kata pegawai itu.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:00am
d