utama

Rancang tumpah darah Ramadan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Enam unit bom ‘improvised explosive device’ (IED) dan sepucuk pistol jenis CZ buatan Czechoslovakia bersama 15 butir peluru antara dirampas polis selepas menahan empat pengganas Daish dalam serbuan pada 5 hingga 7 Mei lalu.

Bahan letupan dan senjata berkenaan dipercayai untuk digunakan dalam rancangan pembunuhan individu berprofil tinggi serta serangan bom berskala besar di beberapa lokasi di negara ini.

Serangan yang dirancang juga bertujuan membalas dendam terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di kuil di Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, semua suspek ditahan dalam empat serbuan di Kuala Berang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Katanya, suspek membabitkan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki Indonesia dan dua lelaki Rohingya pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia antara 20 dan 49 tahun.

Katanya, susulan penahanan itu polis turut menemui enam unit bom IED serta sepucuk pistol jenis CZ buatan Czechoslovakia bersama 15 butir peluru yang akan digunakan dalam serangan dirancang.

“Keempat-empat suspek ini bergerak sebagai satu ‘selwolf pack’ Daish yang dipercayai berhubung dengan rangkaian Daish di Syria dan merancang melakukan serangan pada minggu pertama Ramadan.

“Antara rancangan mereka adalah untuk membunuh beberapa individu berprofil tinggi serta serangan bom di rumah ibadat bukan Islam dan di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Serangan yang dirancang juga bertujuan membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib dalam insiden rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya pada 27 November tahun lalu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abdul Hamid berkata, suspek pertama ditahan di Kuala Berang pada 5 Mei lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai bertindak sebagai perancang utama serangan.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas enam bom serta sepucuk pistol.

“Susulan itu, polis membuat tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki Rohingya pemegang kad UNHCR berusia 20 tahun di Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu.

“Suspek ke dua mengaku menganggotai sel pengganas itu dan menyokong kumpulan pengganas Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) turut merancang serangan di Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga pula membabitkan seorang lelaki Indonesia berusia 49 tahun di Subang Jaya pada hari sama.

Katanya, suspek bekerja di sebuah kilang membuat zink dan merancang untuk berjihad di Syria.

“Suspek keempat lelaki warga Rohingya berusia 25 tahun ditahan di Kuala Lumpur pada hari sama dan mengaku terbabit kumpulan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:10am
d