utama

Pengedar dadah XXL [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

AMPANG JAYA: Sindiket dadah antarabangsa kini dikesan merekrut wanita berbadan gempal sebagai keldai dadah bagi memudahkan dadah yang dibawa dilekatkan pada tubuh wanita terbabit dan tidak lagi menyembunyikannya di dalam bagasi.

Taktik itu dikatakan agak berjaya kerana pemeriksaan badan di lapangan terbang agak jarang menyasarkan wanita berbadan gempal kecuali jika ada sesuatu yang mencurigakan.

Upah yang ditawarkan pula agak lumayan iaitu RM16,000 untuk sekali penghantaran berbanding RM5,000 ke RM10,000 sebelum ini.

Selain habuan wang tunai, tiket penerbangan dan kos penginapan hotel di negara tertentu juga ditanggung sepenuhnya.

Tawaran gelap mata itu dibuat sindiket pengedaran dadah kepada mana-mana individu yang sanggup menjadi tali barut mereka untuk menyeludup bahan terlarang berkenaan ke negara tertentu melalui kenalan atau media sosial.

Taktik terbaharu sindiket dadah ini terbongkar selepas dua wanita berbadan gempal berasal dari Pulau Pinang dan Sarawak yang disyaki keldai dadah dan seorang lelaki tempatan yang dikatakan pembantu mereka diberkas dalam serbuan di sebuah hotel di Lembah Klang, kelmarin.

Serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 12 tengah malam.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan dilakukan hasil siasatan dan risikan sejak kira-kira dua bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik hotel itu mendaI pati tiga suspek berusia 21 hingga 31 tahun terbabit sedang bersiap untuk bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi penerbangan ke Korea Selatan.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa peket dadah dilekatkan pada bahagian badan, pinggang, paha dan dada dua suspek wanita menggunakan pita pelekat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya merampas 20 peket dadah jenis syabu seberat 50.1 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM255,000 selain sebuah kereta Perodua Myvi dan wang tunai mata wang Korea berjumlah 550,000 Won atau bersamaan RM2,000 dalam serbuan itu.

Katanya, operandi sindiket itu adalah merekrut warga tempatan melalui kenalan dan media sosial sebagai keldai dadah dengan menawarkan habuan lumayan sebanyak RM16,000.

“Ia dibayar secara berperingkat iaitu RM1,000 sebelum berlepas, manakala RM15,000 dibayar selepas tugas mereka selesai.

“Malah, tiket penerbangan dan kos penginapan hotel mereka di negara berkenaan turut ditanggung sindiket terbabit. Tawaran lumayan itu menyebabkan ada individu yang sanggup menjadi keldai dadah walaupun menyedari risiko tugas dilakukan mereka.

“Situasi itu boleh dilihat pada dua wanita ditahan dalam operasi ini yang sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Sarawak dan Pulau Pinang untuk melakukan tugas berkenaan.

“Bagaimanapun, bukan semua individu mempunyai ciri untuk menjadi keldai dadah. Hanya yang berbadan gempal bagi memudahkan mereka melekatkan dadah pada bahagian badan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, permintaan tinggi terhadap bekalan dadah di negara berkenaan menyebabkan sindiket terbabit aktif merekrut warga tempatan untuk dijadikan sebagai keldai dadah.

“Harga dadah berkenaan melambung tinggi sebaik tiba di Korea dengan berlipat kali ganda.

“Bayangkan, sebaik tiba di sana (Korea), harga dadah itu dianggarkan bernilai AS$2.04 juta atau bersamaan RM8.5 juta berbanding nilai asal iaitu RM255,000 bagi dadah syabu seberat 50.1 kg,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 18 Mei ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terjebak kegiatan pengedaran dengan menjadi keldai dadah walaupun ditawarkan upah tinggi.

“Harus diingatkan kepada orang ramai jika habuan lumayan ditawarkan bagi tugas mudah, pasti ada sesuatu mencurigakan yang menjerumus kepada kegiatan jenayah termasuk dadah,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 6:15am
d