utama

Kan dah kena mandi 'jenazah'... [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI yang diikat dan disiram air pada tempat mandi jenazah oleh orang awam, disyaki suspek yang cuba memecah tabung Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Sungai Tiram dekat Ulu Tiram, pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek ditahan orang awam 10 pagi semalam sebelum diserahkan kepada polis.

“Ketika anggota kereta peronda polis (MPV) membuat tugas rondaan, satu maklumat diterima menyatakan ada tangkapan dibuat oleh orang awam ke atas seorang lelaki yang cuba memecah tabung di surau itu.

“Setibanya di lokasi, beberapa orang awam menyerahkan suspek bersama sebuah motosikal yang disyaki digunakan olehnya. Semakan ke atas motosikal itu didapati tiada rekod hilang,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau mendapati suspek masuk dan cuba memecah tabung surau pada 10 Mei lalu, tetapi gagal.

Katanya, hasil semakan rekod lampau, suspek yang berusia 26 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah mencuri dalam bangunan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, tular di Facebook (FB), video berdurasi seminit 22 saat yang memaparkan seorang lelaki ditangkap orang ramai kerana disyaki memecah tabung surau sebelum diikat dan disiram air di atas tempat mandi jenazah.

Tindakan itu diambil jawatan kuasa surau terbabit yang mendakwa untuk memberi pengajaran kepada suspek.

Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Ramle Ahmat berkata, kejadian pecah tabung di surau berkenaan sudah beberapa kali berlaku selain kes curi beg tangan jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat.

“Sebenarnya kejadian pecah tabung ini sudah kali kelima berlaku di surau yang sama sejak dua tahun lalu. Suspek yang tertangkap ini juga sudah cuba masuk dan pecah tabung surau pada 10 Mei lalu.

“Kami mendapat maklumat selepas melihat CCTV dan semalam, berlaku lagi orang yang sama buat, namun berjaya ditangkap oleh orang kampung serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) surau,” katanya.

Ramle berkata, tindakan AJK dan orang kampung itu langsung tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana individu, sebaliknya sebagai kesedaran dan pengajaran kepada suspek serta orang lain.

Katanya, kejadian pecah tabung surau itu berlaku pada 9.15 pagi dan ia dimaklumkan oleh AJK lain sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Tiram, 11.20 pagi semalam.

“Sebenarnya bukan setakat pecah tabung sahaja, ada juga kes curi beg tangan jemaah wanita yang sedang menunaikan solat pada tahun lalu dengan kerugian dianggarkan lebih kurang RM1,000 selain pecah masuk bilik imam,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 10:04am
d