utama

'Adib bukan terhimpit pintu van EMRS'

Oleh Sarah Zulkifli

PAKAR Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, kecederaan dialami anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bukanlah berpunca daripada terhimpit di pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), meskipun tanpa menjalankan eksperimen.

Saksi inkues ke-24 itu berkata, malah, bedah siasat dan pemeriksaan klinikal dijalankannya bersama Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood sudah memberikan bukti jelas mengenai punca kecederaan pada dada kanan mangsa.

“Namun, saya tetap jalankan eksperimen selepas saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom,Prof Dr Shahrom Abd Wahid, meminta saya berbuat demikian,” katanya ketika menjawab soalan peguam, Kamaruzaman Wahab dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang memasuki hari ke-34 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, saksi itu melakukan eksperimen berhubung punca kecederaan Muhammad Adib untuk menyangkal teori dibentangkan Prof Shahrom pada 12 April lalu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Dr Ahmad Hafizam berkata, bukti sangat jelas bagaimana si mati mendapat kecederaan berdasarkan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat.

“Kecederaan dada kanan mangsa boleh disebabkan oleh satu benda tumpul, keras, lebar dan sedikit kasar.

“Objek itu boleh jadi bahu jalan, kenderaan atau objek hadangan yang ada di situ,” katanya.

Ketika disoal Kamaruzaman sama ada dia tahu objek mengenai mangsa, beliau menjawab ‘setakat itu sahaja, objek spesifik saya tidak dapat bantu mahkamah’.

Mengulas lanjut, saksi itu berkata , beliau perlu berada di sisi Muhammad Adib atau berada di tempat kejadian untuk mengetahui apakah objek berkenaan.

Mengulas isu berlainan, Dr Ahmad Hafizam berkata, beliau melakukan bedah siasat terhadap mayat Muhammad Adib termasuk menyiat kulit mangsa bagi melihat kesan lebam pada tubuhnya.

“Hirisan dilakukan secara keratan rentas itu sebagai cara melihat kecederaan pada lapisan kulit dan tisu perantara.

“Namun, saya tidak dapat memisahkan lapisan kulit dan tisu perantara kerana mayat nanti tidak sempurna memandangkan tulang rusuk pun terpisah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam melakukan bedah siasat, pihaknya perlu mengambil kira untuk mengelak berlaku kecacatan mayat.

“Saya terangkan kepada mahkamah bahawa saya membuat bedah siasat pada 1 pagi bagi kepentingan negara dan mengebumikan jenazah dengan cepat,” katanya.

Beliau turut menegaskan walaupun tidak menyiat setiap lapisan kulit si mati untuk mengesan kesan lebam, itu tidak bermakna pihaknya tidak melakukan pemeriksaan bedah siasat dengan teliti.

“Jika mahu melihat lebam, perlu melihat luar dahulu dan jika si mati tersepit di jenang pintu EMRS, pasti ada kesan lebam pada luaran.

“Namun, ketika diperiksa empat hari selepas mangsa cedera, saya dapati tiada kesan lebam pada luaran si mati,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya Kamaruzaman sama ada dia mengenali Prof Shahrom, beliau mengakui pakar forensik itu adalah penyelia dan pensyarah ketika beliau melanjutkan Doktor Patalogi Forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya setuju dia (Prof Shahrom) mempunyai pengalaman luas,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 5:38pm
    d