utama

Ya Allah, kesiannya...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TERKEJUT rumahnya diceroboh selain hampir menjadi mangsa rogol, seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dalam kejadian di Bukit Payong, Marang, hari ini.

Mangsa berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Bukit Payong ketika menerima rawatan pada 4.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah didatangi seorang lelaki bertopeng tidak dikenali bersenjatakan sebilah parang pada 12.10 tengah malam.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, suspek pergi ke arah mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek cuba merogol mangsa, namun wanita terbabit melawan selain cuba membuka topeng dipakai suspek.

“Selepas beberapa minit bergelut, suspek yang bimbang identitinya terbongkar melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, sejurus kejadian itu, mangsa ada menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya namun beberapa jam kemudian, suami mangsa terkejut melihat isterinya berada dalam keadaan lemah.

Katanya, suami mangsa segera membawa wanita terbabit ke KK Bukit Payong, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Tiada kesan kecederaan pada badan mangsa namun berdasarkan soal siasat, mangsa mempunyai penyakit jantung.

“Usaha memburu suspek giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan merogol dan Seksyen 448 KK kerana menceroboh,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 6:35pm
d