utama

Ada bonus nanti

Oleh Hadzlihady Hassan

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kepada penjawat awam sempena Aidilfitri.

“Ada, kita akan isytihar nanti,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-48 di Spice Arena, Georgetown.

Bagaimanapun jumlah dan bila bayaran dibuat masih belum ditentukan dan diberitahu kemudian.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus Aidilfitri kepada penjawat awam serta pesara dan turut menghantar surat kepada Dr Mahathir dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu itu.

Kerajaan Pulau Pinang, Kedah dan Melaka sudah mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri kepada penjawat awam masing-masing antara RM1,000 sehingga setengah bulan gaji.

Terdahulu Perdana Menteri ketika ucapannya turut melahirkan rasa sebak ketika mengucapkan Selamat Hari Guru di hadapan 3,500 warga pendidik yang hadir pada sambutan itu.

“Buat semua guru, teruskan usaha murni anda dan yakinlah ia satu amanah serta tugas mulia.

“Semoga guru diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Beliau turut meminta semua guru menerapkan sifat rajin, amanah dan berdisiplin dalam kalangan murid dari peringkat awal lagi supaya dapat menjadi budaya yang membawa kejayaan.

Katanya, jika terdapat tiga nilai ini, murid akan membesar dengan menjadi bangsa berjaya.

Beliau menekankan dasar pandang ke timur kerana negara maju seperti Jepun dan Korea disegani seluruh dunia bukan hanya kerana kemajuan mereka dalam pelbagai bidang, tetapi kerana disiplin, rajin serta amanah serta semangat patriotisme.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 2:18pm
d