utama

'Jangan culas'

Oleh Firdaus Hashim

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua atlet terutamanya pemain bola sepak profesional tempatan supaya menjalankan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Jelas beliau, sebagai individu yang mencari rezeki di Malaysia, mereka harus menunaikan tanggungjawab itu tanpa sebarang alasan.

Katanya, isu pemain bola sepak yang cuba mengaburi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan menyembunyikan kontrak kedua untuk mengelak cukai perlu dihentikan serta merta.

“Semua rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa ataupun kelas, jika perlu membayar cukai mereka wajib berbuat demikian kerana ia adalah tanggungjawab termasuk diri saya dan yang lain-lain.

“Saya rasa, dalam perkara ini... kita kena ikut undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan antara pasukan pilihan Syed Saddiq menentang pilihan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, kelmarin.

Menerusi laporan dan pendedahan ekslusif Arena Metro sejak minggu lalu, sumber dalaman LHDN mendedahkan bahawa negara kehilangan puluhan jutaan ringgit setahun gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemain yang menyembunyikan status gaji mereka kepada agensi pengutip cukai itu.

Malah, ada antara pemain memiliki aset bernilai jutaan ringgit sedangkan maklumat yang diisytiharkan kepada LHDN adalah sebaliknya.

Difahamkan, pemain berstatus bintang yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya hanya menerima sekitar RM180,000-RM240,000 semusim yang bersamaan dengan RM15,000-RM20,000 sebulan.

Bagaimanapun, apabila menyemak aset yang dimiliki pemain-pemain bintang berkenaan, ada antara mereka mempunyai rumah dan kereta mewah bernilai jutaan ringgit yang sebenarnya tidak mampu dimiliki oleh pemain yang sekadar meraih pendapat seperti yang diisytiharkan itu.

Pendedahan itu kemudiannya disokong beberapa pihak termasuk bekas ejen dan pengurus bola sepak Safee Sali iaitu Zakaria Rahim yang mengakui sememangnya wujud kes penipuan perisytiharan gaji dan harta oleh pemain dan pasukan dalam Liga-M.

Katanya, berdasarkan amalan pemain dan persatuan, mereka hanya menyerahkan kontrak pertama kepada LHDN manakala kontrak kedua gaji yang lebih tinggi disembunyikan bagi tujuan untuk mengelak cukai.

Tambah Syed Saddiq, pembayaran cukai bukan saja dapat menambah sumber pendapatan negara, malah ia juga membantu pembangunan sukan termasuk bola sepak.

“Sebab itu tidak boleh ada seorang pun yang boleh melarikan diri. Ia kerana akhirnya cukai itu akan disalurkan semula kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 6:00am
d