utama

PAFA rugi besar

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

“BAGI saya memang tidak patutlah (cetak rompak), sebab kita rugi dari segi royalti,” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar.

Beliau mengakui isu cetak rompak jersi dan pelbagai cenderamata seperti mafla, topi dan rantai kunci menggunakan logo PAFA berlarutan sekian lama dan mengakibatkan kerugian besar.

Katanya, skuad Liga Super ‘The Bos Gaurus’ ditaja oleh Al-ikhsaN Sports Sdn Bhd yang turut membekalkan jersi Umbro bagi Piala Presiden, Piala Belia, bola sepak Wanita dan skuad futsal Perak sehingga tahun depan.

“Jika ada yang cetak rompak, itu di luar pengetahuan kami dan kami serahkan kepada pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) untuk tindakan. Jika pihak terbabit tidak ambil tindakan, kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya dihubungi.

Tegas beliau, mana-mana pihak termasuk individu atau syarikat perlu memohon kebenaran daripada PAFA untuk menjual jersi atau barangan menggunakan logo persatuan.

“Tapi setakat ini sejak bertugas Februari lalu, tiada mana-mana pihak, individu mahupun syarikat mohon secara lisan atau bertulis untuk cetak jersi dan sebagainya guna logo PAFA.

“Saya tidak pernah bagi, orang lain saya tidak tahu. Yang ada (jersi guna logo PAFA) dijual sekarang, memang tidak ada kebenaran,” katanya dihubungi kelmarin.

Sementara itu, Tajul Hasnan berkata, pihaknya tidak memiliki statistik sebenar kerugian dialami akibat kegiatan cetak rompak pelbagai barangan menggunakan logo PAFA termasuk jersi dan cenderamata.

“Memang bangga dan seronok lihat penyokong pakai jersi Perak. Mungkin ada pakai jersi asli tapi kebanyakannya guna yang cetak rompak sebab harga lebih murah.

“Jika dilihat dengan mata kasar memang sama, tidak tahu di mana mereka buat. Jersi tulen ini misalnya dijual RM118 sehelai, sedangkan cetak rompak sekitar RM30 hingga RM60.

“Katakan bayaran royalti RM5 sehelai, bayangkan kami boleh dapat RM5,000 jika mereka cetak 1,000 helai,” katanya.

Sementara itu katanya, PAFA juga tidak menerima aduan daripada Al Ikhsan untuk mengambil tindakan berkaitan cetak rompak jersi pasukan Perak.

“Jika mereka minta bantuan kita akan bekerjasama tapi bukan pergi menangkap penjual kerana di luar bidang kuasa kita,” katanya.

Akhbar ini semalam mendedahkan dengan hanya menggunakan modal kecil, tauke jersi klon mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit. Sekali gus kegiatan cetak rompak yang berlarutan sejak puluhan tahun dulu menyebabkan kerugian besar kepada persatuan negeri yang kehilangan pendapatan.

Tempahan hujung jari

Tidak perlu bersusah payah datang ke gerai jualan apabila jersi cetak rompak kini lebih mudah dengan hanya menggunakan khidmat tempahan melalui WhatsApp sebelum menentukan masa dan lokasi tertentu untuk penyerahan barang.

Itu strategi pergerakan pembekal jersi berjenama tiruan dipercayai didalangi warga Pakistan dan Bangladesh bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Malah, lokasi gedung penyimpanan jersi cetak rompak itu sebenarnya berpusat di sebuah pusat beli belah yang menghimpunkan pelbagai barangan pada harga borong yang turut menjual pakaian sukan gred bajet untuk golongan pelajar sekolah seperti jersi futsal dan bola sepak dengan harga RM20 sehelai.

Arena Metro yang berkesempatan menemubual seorang peniaga jersi tiruan memberitahu bahawa hanya individu tertentu atau pelanggan yang sudah dikenali boleh berurusan dengan pembekal terbabit.

“Waktu urus niaga pula hanya berlangsung untuk tempoh tertentu iaitu bermula jam 5 petang hingga 8 malam. “Mula-mula dulu, saya selidik dan selalu tanya, dah buka kedai ke. Mereka kata masih buka tapi hanya empat petang, tapi bila saya pergi tak buka juga.

“Rupanya mereka masih bayar sewa lot kedai cuma tidak berurus niaga dalam kedai sebaliknya berlegar-legar di keliling bangunan sebab itu kalau datang tengah hari banyak kedai tutup atau jual jersi biasa saja.

“Jadi, pelanggan tetap macam saya akan membuat tempahan melalui katalog yang dihantar melalui WhatsApp dan selepas menerima pengesahan mereka akan menetapkan waktu dan lokasi untuk membuat pembayaran dan mengambil barang,” katanya.

Dia yang mula berniaga secara sambilan sejak 2010 berkata, kebanyakan pembekal lebih berwaspada apabila hanya berurus niaga dengan pelanggan tetap dan dikenali.

“Kalau orang baharu mereka buat tak layan kecuali ada orang lama syorkan. Biasanya waktu mengambil barang tempahan sekitar jam 5 petang hingga 7 malam di kawasan tertentu termasuk di kawasan parkir bangunan mahupun pusat beli belah sekitar Kuala Lumpur.

“Kadang-kadang hari ini tingkat empat esok tingkat lima dah seperti jual dadah. Pernah pada musim Piala Dunia 2018 baru-baru ini, saya membuat tempahan di bangunan A, bayar di bangunan B dan ambil barang di bangunan C,” katanya.

Lelaki itu memberitahu, permintaan tinggi rakyat tempatan menyebabkan pembekal mengambil peluang ini dengan membawa masuk jersi gred A atau 80 peratus menyerupai asli itu dari China dan Thailand.

“Saya pernah terserempak dengan beberapa peniaga kecil-kecilan seperti saya yang datang dari merata tempat seperti Johor, Perak dan Pahang.

“Mereka datang ke Kuala Lumpur membawa plastik guni semata-mata mahu mengambil stok bekalan jersi tiruan membabitkan pasukan atau kelab tempatan yang akan dijual sama ada di pasar malam dan sebagainya di tempat mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 6:31am
d