utama

Origami gigi, lidah

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang lelaki di China yang hanya dapat menggerakkan mulutnya akibat kecacatan kekal berusaha membantu ahli keluarganya melalui kemahirannya dalam seni kuno origami yang dibuat menggunakan gigi dan lidah.

Gao Guangli, 29, dari wilayah Shandong, China timur, dilahirkan dengan Palsi Serebral.

Dia melatih dirinya melipat kertas gula dalam reka bentuk rumit hanya menggunakan gigi dan lidahnya kemudian menjual ciptaan origaminya secara dalam talian hingga berjaya mengumpul peminatnya sendiri di platform video sosial Kuaishou, lapor South China Morning Post.

Gao turut muncul di stesen televisyen di China dan ditemu ramah media lain hingga jutaan orang menontonnya ketika dia membentuk kren, katak, hati, bot, roket serta pesawat dan dianugerahkan sijil Rekod Dunia Guinness kerana keupayaannya membentuk origami dalam tempoh masa ditetapkan.

Pada 2 Disember 2017, Gao melakukan rekod terpantas membuat bot origami dengan mulutnya iaitu dalam masa 3 minit 34 saat.

Gao berkata, dia mengambil masa 20 minit untuk membentuk origami kren yang dianggapnya paling sukar, tetapi ia adalah yang paling cantik kerana mempunyai banyak garis struktur.

“Melipat origami bergantung pada lidah dan gigi anda harus gigit kertas untuk buat garis struktur sementara gunakan lidah anda untuk rasakan ruang serta melipat sudut. Sama seperti jari anda,” katanya.

Dia tertarik pada origami pada usia 12 tahun ketika kanak-kanak lain bermain pesawat kertas. Pada peringkat awal, sebelum dapat menyempurnakan teknik itu, Gao berkata, dia sering menelan kertas yang cuba dilipatnya.

“Kadang-kadang saya makan banyak kertas gula hingga terlalu kenyang untuk makan makanan lain,” katanya.

Lama-kelamaan perbuatannya itu menyebabkan luka menyakitkan pada mulutnya dan masalah kesihatannya berterusan hingga Gao memerlukan pembedahan untuk radang usus ketika berusia 18 tahun.

Gao tidak pernah ke sekolah tetapi dia belajar membaca dan menaip pinyin selepas rakannya memberinya komputer lama pada 2013.

Dia mendapat peluang melihat dunia luar setahun kemudian, selepas seorang rakannya yang juga orang kurang upaya (OKU) mencadangkan mereka melawat bandar raya di seluruh China dan membuat persembahan busker.

Semasa rakannya menyanyi, Gao duduk di kerusi rodanya sambil mencipta origami.

Mereka memulakan pengembaraan di ibu kota Jinan sebelum ke Hangzhou di wilayah Zhejiang, lebih 800 kilometer namun pengembaraan itu tidak dapat diteruskan apabila Gao demam bermula selepas tidur di tanah dalam hujan hingga mencetuskan masalah kesihatan lebih serius.

Sejak itu, Gao tinggal di rumah dengan ibu bapanya. Untuk meringankan beban kewangan keluarga, dia membuka kedai dalam talian di platform e-dagang China Taobao, menjual ciptaan origaminya. Gao turut bekerja sambilan selama dua tahun.

“Dia berikan saya wang bila mahu membeli pakaian. Dia tidak boleh bergerak tetapi dia belikan pakaian untuk saya. Saya tidak pernah menjangkakan ini,” kata ibu Gao, Wang Guizhen dalam temu bual dengan saluran media China.

Walaupun fizikalnya terbatas, Gao mempunyai impian untuk masa depan.

“Pertama adalah membuka kilang kraftangan kecil supaya rakan kurang upaya saya dapat memperoleh sedikit wang dan lebih gembira.

“Saya juga mahu belajar memberi ucapan. Saya ingin berkongsi cerita dengan lebih ramai orang dan menggalakkan mereka untuk berusaha,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 7:01am
d