utama

'Saya memang fobia'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

“SAYA memang fobia kerana rasa seperti ada orang mahu ‘bunuh’ saya dengan apa yang berlaku ini sekali gus ia disifatkan kejadian pertama paling menakutkan dalam hidup.”

Begitu kata Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Norhayati Ahmad, 40, yang menerima dua ancaman ‘keras’ dalam tempoh kurang tiga minggu.

Ancaman pertama diterima pada 28 April lalu apabila tembok depan rumah dan dua kenderaannya disimbah cat merah, sebelum bahagian atas sengkuap di hadapan rumah terbakar akibat bom petrol (molotov cocktail) pada 13 Mei lalu.

Malah, ibu kepada dua anak yang baru memegang jawatan itu sejak dua bulan lalu tidak mengetahui punca ‘serangan’ individu tidak dikenali terbabit hingga membuatkannya trauma.

Bagaimanapun, siasatan awal polis percaya dua insiden terbabit mempunyai kaitan dengan operasi MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di Batu Caves, Selangor.

Norhayati berkata, ketika kejadian pertama hanya suami Muhamad Norsam Md Arof, 42, dan seorang anak berada di rumah, manakala dia menyertai lawatan kerja di Shanghai, China.

“Suami menyedari kejadian itu apabila mahu keluar untuk menjemur pakaian sebelum terhidu bau cat yang sangat kuat jam 7 pagi.

“Dia melihat bahagaian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey dipenuhi cat merah hingga ke lantai lalu menghubungi saya.

“Saya terkejut dengan kejadian lalu meminta suami membuat laporan polis pada hari sama,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham di kediamannya, semalam.

Menurutnya, pada mulanya dia dan suami menyangka kejadian ugutan akan berhenti setakat itu sahaja, namun berlaku sebaliknya apabila menerima amaran lebih ‘keras’ pada 13 Mei lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku jam 12.30 tengah malam ketika dia mahu tidur bersama anak manakala suami masih menonton perlawanan bola sepak di tingkat bawah rumah.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi letupan sangat kuat sehingga jiran yang duduk di hujung pun dengar dan mengunjungi rumah kami.

“Jiran depan rumah pula menjerit ‘api, api’ kerana bahagian atas sengkuap di hadapan rumah terbakar akibat letupan bom petrol (molotov cocktail).

“Menurut jiran, mereka ternampak dua individu menyangkut bom petrol itu berserta cat merah di pagar. Mereka membalingnya ke atas sengkuap sebelum meletup dan mengenai rumah serta kenderaan jiran,” katanya.

Menurutnya, mereka bernasib baik kerana suaminya bertindak pantas memadam api dan kebakaran itu tidak serius.

“Secara jujurnya, saya berasa amat takut terutama membabitkan keselamatan keluarga sejak kejadian itu.

“Pada masa sama, saya mengakui moral down dan terdetik untuk meletak jawatan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

“Selama 16 tahun berkhidmat di MPS termasuk di Bahagian Audit, ini kejadian yang benar-benar memberi kesan kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 8:30am
d