utama

Bantu insan memerlukan

Oleh Ramlah Zainal

BERMULA dengan kumpulan Blackberry Messenger (BBM) pada 2009, tujuh selebriti terkenal tanah air sepakat menubuhkan Celebrities With Pet Projects (Celepets) untuk membantu golongan memerlukan.

Tujuh selebriti terbabit ialah Aishah Sinclair, Sazzy Falak, Yasmin Hani, Daphne Iking, Atilia Haron, Dynas Mokhtar dan Serena C.

Menurut Daphne, pada mulanya mereka hanya sekadar rakan artis yang sama-sama terbabit dalam bidang hiburan tanah air.

“Kami juga hanya sesekali bertemu dalam majlis hiburan kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja dan keluarga.

“Menerusi kumpulan BBM itulah kami berkongsi perkembangan diri masing-masing sehingga hubungan jadi semakin rapat bagaikan adik-beradik dan keluarga yang besar sampai sekarang," katanya.

Menurut Daphne, mereka sepakat menubuhkan kumpulan Celepets kerana menyedari memiliki minat sama dalam aktiviti amal.

“Sejak Celepets ditubuhkan, kami berhubung hampir setiap hari dan persahabatan juga semakin erat dan mesra,” katanya.

Daphne ditemui pada Malam Amal dan Iftar bersama Celepets di Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Hadir sama, Pengasas Mompreneur Asia, Niney Chong. Ditanya rahsia persahabatan mereka pula, kata Sazzy, ia kekal utuh sehingga kini kerana tidak pernah timbul perasaan cemburu antara satu sama lain.

“Bohonglah kalau cakap tak pernah bergaduh tetapi kami akan cepat-cepat selesaikan supaya tidak berpanjangan.

“Apa yang penting, kami saling menyokong antara satu sama lain terutama dalam membabitkan kerjaya seni.

“Contohnya, jika ada tawaran mengacara tetapi saya sudah ada komitmen lain, ada ahli Celepets yang akan menggantikan tempat saya,” katanya.

RAI ULANG TAHUN KE-10

Menyentuh mengenai sambutan ulang tahun ke-10 Celepets, Aishah berkata, mereka sepakat mahu menjadikannya acara lebih istimewa dan bermakna buat kumpulan itu.

“Jika sebelum ini kami hanya meraikan golongan asnaf dalam majlis berbuka puasa, kali ini Celepets dengan kerjasama Mompreneur Asia dan Kindness Asia melancarkan program dikenali sebagai Power to Empower (Program mentor Celepets) untuk 10 ibu tunggal terpilih.

“Menerusi program itu, 10 ibu tunggal terbabit akan menghadiri kursus intensif selama tiga bulan untuk mempelajari pelbagai ilmu dalam dunia perniagaan sekali gus membantu mereka mencari sumber pendapatan tetap,” katanya.

Menurut Aishah lagi, idea itu timbul kerana pihaknya mahu golongan ibu tunggal belajar hidup berdikari dengan apa yang mereka pelajari dalam kursus itu nanti.

“Proses pemilihan mencari 10 ibu tunggal yang layak masih lagi diteruskan. Kriteria yang kami cari ialah mereka yang benar-benar berminat dan sanggup memberi komitmen dalam tempoh tiga bulan untuk berjaya sebagai usahawan,” katanya.

Sementara itu, malam amal amal dan iftar bersama Celepets turut meraikan seramai 40 keluarga iaitu ibu tunggal dan anak masing-masing di bawah lembayung Kindness Malaysia dan seramai 56 anak yatim dari Pertubuhan Nur Kasih Bestari.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 5:30am
d