utama

Gandingan sering dinanti

Oleh Norhayati Nordin

SEJAK digandingkan dalam drama Nur di TV3 tahun lalu, nama pelakon Azhan Rani, 43, dan Noorkhiriah Ahmad Shapie, 43, menjadi perhatian ramai. Masih disatukan bersama untuk Nur 2 yang disiar TV3 baru-baru ini, impak lakonan dua figura berkaliber itu tetap diterima baik penonton.

Meskipun watak Syed Hamadi cukup menyakitkan hati tetapi sangat ‘melekat’ dengan Azhan, begitu juga Aisyah lakonan Noorkhiriah yang mantap.

Oleh itu, secara tidak langsung populariti kini menjadi milik Azhan dan Noorkhiriah malah gandingan mereka sentiasa dinanti penonton untuk karya seterusnya.

Berbicara soal populariti, Azhan memberitahu dia tidak menyangka impak lakonan dalam drama Nur dan Nur 2 akan membawa dirinya sejauh ini.

“Saya tidak terfikir akan merasai nikmat populariti yang mungkin menjadi impian segelintir artis kerana selama ini fokus hanya nak berlakon.

“Tambah pula, saya pun bukan muda lagi. Pada usia 40-an dan merasai popular sekarang, ia umpama ujian.

“Pujian melambung diterima itu kerana pengaruh besar watak Syed Hamadi. Penonton marah dan mengecam tetapi menyukainya.

“Jadi, saya perlu dapatkan watak lain yang bagus untuk melenyapkan bayangan populariti yang dibawa Syed Hamadi. Sampai bila nak bergantung dengan watak Syed Hamadi saja,” katanya.

Azhan yang sudah 13 tahun membina karier sebagai pelakon berkata, biarpun dia memenangi Anugerah Antagonis Pilihan pada acara Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) lalu bayaran lakonannya masih sama.

“Tidak ada perubahan pun kerana hingga kini saya masih bertarung dengan harga dan tetap menerima tawaran berlakon untuk apa saja watak sesuai.

“Dengan bayaran lakonan diterima kini masih memerlukan saya giat berusaha untuk terus mendapatkan peluang berlakon. Cuma, alhamdulillah rezeki saya masih dimurahkan Allah SWT,” katanya.

Sehubungan itu, Azhan akan muncul dengan dua telefilem istimewa lakonannya iaitu Gang Van Jenazah dan Aku Tak Raya sebanyak tiga episod di TV3 nanti.

Bagi Noorkhiriah, apa yang diluahkan Azhan mengenai bayaran itu ada benarnya. Ujar ibu tiga anak ini, menang anugerah tidak menjanjikan bayaran besar.

“Anugerah dimenangi hanya penghargaan di atas persembahan lakonan yang mantap dan berkesan. Ia sama sekali tidak menjanjikan bayaran yang besar kepada pelakon.

“Cuma, jika produksi betul-betul mahukan kerjasama pelakon, mungkin mereka boleh bersetuju dengan harga diletakkan,” katanya yang penah menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2010.

Berbicara mengenai gandingan bersama Azhan, anak jati Pahang itu mengakui selesa bekerja dengan pelakon berbakat terbabit kerana saling membantu.

“Mudah bekerja dengan Azhan kerana kami boleh berbincang dan bertukar pandangan untuk memantapkan persembahan dalam lakonan.

“Bagaimanapun, saya akur tak boleh selalu digandingkan bersama kerana bimbang keselesaan itu menjadi semakin hilang dan berada di tahap yang sama,” katanya.

Mengulas popular kali kedua, Noorkhiriah yang sudah dua dekad menceburi karier seni berkata dia tidak berasakan dirinya popular semula. Katanya, dia melihat kemunculan itu mengingat semula orang ramai terhadap kembara seninya yang pernah dibina sebelum ini.

GANDINGAN KEDUA DALAM RADIO

Jika tahun lalu, Azhan dan Noorkhiriah melakonkan watak utama untuk drama radio Cinta Sup Bunjut di Kool FM, kini mereka digandingkan lagi. Dalam drama radio kedua kali ini, mereka menerajui kisah Ragaman Ramadan yang begitu menarik perhatian pendengar di Kool FM.

Berbicara mengenai kerjasama itu, Azhan berkata dia melihat ia masih bergantung kepada fenomena drama Nur 2 yang masih hangat diperkatakan hingga kini.

“Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih dengan sokongan diberikan orang ramai terhadap lakonan bersama Noorkhiriah.

“Terima kasih juga Kool FM kerana masih sudi memberi peluang kepada kami berdua membintangi drama radio berjudul Ragaman Ramadan,” katanya.

Bagi Noorkhiriah, dia seronok dan selesa bekerjasama dengan pihak Kool FM untuk menjayakan drama radio berkenaan.

“Tak sangka pendengar menerima baik drama radio Ragaman Ramadan ini sama seperti Cinta Sup Bunjut.

“Untuk drama radio Cinta Sup Bunjut dulu, kami perlu membuat rakaman tambahan daripada 15 episod menjadi 30 episod kerana sokongan pendengar Kool FM,” katanya.

Pada Ramadan ini, Noorkhiriah berkata aktiviti hariannya lebih ditumpukan kepada keluarga selain memenuhi jemputan bengkel motivasi untuk berkongsi kisah penghijrahan dirinya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 6:30am
d