utama

'Alahai anak emak...' [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Nurul Fatihah Sulaini

“SEBELUM ini, saya terdengar kejadian seperti ini menimpa orang lain, tetapi kali ini ia berlaku terhadap anak saya,” kata Zainab Mohd, 40, ibu kepada Syafiq Haiqal Saharuddin, 13, yang putus pergelangan tangan kanan akibat bermain mercun.

Dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja, Jertih, 5.30 petang semalam, Syafiq Haiqal dipercayai bermain mercun bersama lima sepupu dan adik lelaki, Shahrul, 10.

Menurut Zainab, dia yang sedang memasak dipanggil sepupunya memaklumkan Syafiq Haiqal terkena mercun.

“Kalau ikutkan cerita, Syafiq dah bakar sumbu tetapi tidak menyala sebelum dia bakar sekali lagi dan meletup.

“Saya segera mendapatkan Syafiq sebelum membalut tangannya dengan kain.

“Ketika itu, Syafiq Haiqal hanya minta air sebelum kami membawanya ke Hospital Besut dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di HSNZ, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tambahnya, kejadian itu turut menyebabkan anak bongsunya, Shahrul mengalami cedera ringan di belakang badan.

Dia yang juga ibu tunggal kepada empat anak berkata, dia ada menegur anak kedua daripada empat beradik itu supaya tidak bermain mercun.

“Semalam dia ada main dan saya sudah tegur tetapi tidak sangka hari ini, dia main lagi.

“Memang terkejut sebab kejadian ini berlaku pada anak sendiri namun segalanya sudah ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mangsa dihantar ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, ia adalah kes pertama membabitkan mercun di Besut pada tahun ini.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 11:57pm
d