utama

Mahu ke Makkah sebelum tutup mata

Oleh Mahaizura Abd Malik

RAWANG: Pada usia emas dan menghidap penyakit kronik, kesungguhan dan semangat Othman Hiew, 72, mendalami Islam tetap membara.

Othman yang memeluk Islam dua tahun lalu, kini sedang mengikuti Kelas Bimbingan Mualaf dikendalikan Mohd Amir Al-Karim Ng Abdullah di Pusat Bandar Rawang di sini, sejak 2011.

Warga emas ini tidak malu mengakui masih lagi bertatih sebaliknya menyimpan impian menunaikan haji dua tahun lagi.

Sebagai saudara baharu kata Othman, apa yang penting dia mahu mendalami Islam sebanyak mana yang boleh selagi termampu.

“Hajat saya sebelum menutup mata mahu menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji dalam tempoh dua tahun lagi.

“Duit bukan masalahnya, tetapi saya mahu menimba ilmu kerana masih banyak perlu saya pelajari tentang Islam, nanti apabila sudah ada keyakinan pasti saya akan ke Makkah.

“Bagi saya belajar tidak mengira usia yang penting sekarang saya perlu tahu apa itu Islam, apa yang disuruh dan apa yang dilarang oleh Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pesara pegawai kanan sebuah bank itu, dia terbuka hati memeluk Islam dua tahun lalu selepas terpaut dengan keindahan Islam.

“Jujurnya, dulu saya tidak mempercayai mana-mana agama. Selepas dinasihatkan seorang rakan, saya cuba mencari agama sesuai dengan jiwa saya.

“Saya pergi ke tokong, tetapi hati saya masih kosong sebelum saya beralih ke gereja, tetapi tetap rasa sama.

“Akhirnya saya menemui suatu kedamaian yang tidak boleh saya gambarkan apabila menjejakkan kaki ke masjid dan sejak itu saya mula jatuh hati dengan agama ini,” katanya yang kematian isteri 20 tahun lalu.

Akui bapa kepada tiga anak itu, dia mengambil masa sebulan membuat keputusan sebelum menerima Islam.

“Pada mulanya, saya mengenali Islam dengan bertanya kepada rakan-rakan Islam sebelum menyertai kelas ini.

“Alhamdulillah Allah menjaga hati saya supaya kekal dengan niat mahu memeluk Islam bahkan fikiran saya langsung tidak berubah.

“Semua agama baik tetapi apa yang buat saya tertarik dengan Islam adalah kerana agama ini mengambil berat dan bantu membantu serta membimbing walaupun kita bukan sedarah daging, ” katanya.

Katanya, tahun ini kali kedua dia menyambut Ramadan namun dia tidak mampu menunaikan ibadah itu dengan sempurna berikutan faktor kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya hanya berpuasa sesekali saja kerana perlu makan ubat kencing manis dan tekanan darah tinggi tiga kali sehari jika tidak saya akan pengsan.

“Saya tahu dalam Islam memang ada kelonggaran, tetapi sesekali jika termampu saya akan berpuasa kerana tidak mahu terlepas pahaladi bulan baik ini,” katanya.

Sementara itu, Hamzah Chia Erik, 60, berkata, ini kali pertama dia menyambut Ramadan sebagai seorang Muslim selepas memeluk Islam Julai lalu.

“Minggu pertama berpuasa agak sukar bagi saya kerana kerap rasa letih apabila tidak boleh makan dan minum namun saya bersyukur Allah kuatkan hati saya melepasi ujian itu.

“Alhamdulillah saya masih mampu bertahan sampai hari dan kini sudah boleh menyesuaikan diri berpuasa,” katanya.

Katanya, persepsi buruk terhadap Islam berubah apabila dia mendapat hidayah menerima Islam yang mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

“Dulu saya rasa bunyi azan itu bising malah saya tidak faham kenapa Muslim itu perlu solat, berpuasa dan sebagainya.

“Kini baru saya sedar keputusan saya memilih Islam tepat kerana saya temui apa yang saya cari selama ini

“Sebelum ini, jiwa saya sering terasa kosong dan hidup macam tiada matlamat tetapi kini kehidupan saya lebih bermakna malah hubungan saya dan anak yang sebelum ini tidak mesra semakin erat.

“Saya percaya ini semua kuasa Allah dan berkat saya memeluk Islam,” katanya yang sudah bercerai dengan isterinya.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 6:30am
d