utama

Iz aktif berteater Inggeris

Oleh Ramlah Zainal

BARANGKALI nama penyanyi, penulis lagu dan pelakon teater berbakat besar Iz Sulaini kurang menonjol di persada hiburan tanah air.

Hakikatnya, bekas peserta program realiti nyanyian One In A Million (OIAM) ini masih aktif dalam bidang seni serta banyak terbabit dalam kerja belakang tabir sejak dulu.

Kali terakhir, Iz pernah muncul menerusi lagu berjudul Cinta Akhir yang dihasilkan secara komersial pada 2012.

“Sebenarnya, saya tidak pernah hilang dalam bidang seni tanah air. Selepas OIAM pada 2008, saya banyak terbabit dengan pementasan teater muzikal Inggeris yang menjadi minat sejak dulu.

“Terbaru, saya bakal melakonkan watak utama sebagai Edwin buat kali kedua dalam pementasan muzikal teater berbahasa Inggeris berjudul The Working Dead arahan Nicole Ann Thomas.

“Saya juga sibuk menjalani latihan untuk pementasan teater ini sepanjang Ramadan. Mengikut perancangan, ia akan dipentaskan bermula 18 Julai hingga 4 Ogos depan di KLPAC,” katanya.

Selain The Working Dead, Iz juga terbabit dengan beberapa pementasan teater lain iaitu Company, Adam The Musical dan The Edge pada tahun lalu.

Ditanya perancangan dalam bidang lakonan pula, dia mahu melakonkan watak yang lebih mencabar kemampuannya pada masa depan.

“Saya juga merancang untuk mengambil kelas lakonan dengan pengarah teater hebat Fauziah Nawi sekali gus memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Buat masa ini, saya mengambil kelas bahasa Tagalog sebagai persediaan projek drama bersiri Filipina yang akan membabitkan penggambaran di Singapura dan Filipina selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Selain teater muzikal, Iz juga banyak menghasilkan lagu untuk iklan komersial seperti lagu tema program Clever Girl Malaysia siaran TV3 yang dinyanyikan Nikki Palikat dan menjadi suara latar karakter Disney dalam bahasa Melayu untuk Disney Channel sejak 2012.

DARI PENTAS STEATER KE LAYAR PERAK

Bakat lakonan Iz turut mendapat perhatian pengarah terkenal Syafiq Yusof yang menawarkannya membintangi filem Misteri Dilaila yang ditayangkan di pawagam tempatan pada 21 Februari lalu.

Dalam filem yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Datuk Rosyam Nor, Elizabeth Tan, Sasqia Dahuri dan Namron itu, Iz melakonkan watak jurugambar.

“Alhamdulillah, impian untuk bekerja dengan Syafiq akhirnya kesampaian. Saya juga sanggup menolak tawaran berlakon projek lain kerana filem itu.

“Maklumlah, saya hanya bersandarkan pengalaman luas dalam teater dan bukannya jumlah pengikut yang tinggi di Instagram.

“Saya sangat berharap lakonan dalam filem itu menjadi platform untuk saya kembangkan bakat ke layar perak selepas ini,” katanya. Iz mengakui turut menimba pengalaman berharga bekerja dengan Syafiq menerusi Misteri Dilaila.

“Saya hanya terbabit selama tiga hari saja di lokasi penggambaran filem itu. Babak tidak ba­nyak tetapi ia beri impak pada jalan ceritanya.

“Syafiq banyak membantu saya untuk melakonkan watak jurugambar yang banyak bermain pelbagai ekspresi wajah iaitu gembira dan cemas.

“Justeru, saya tumpang bangga dengan kejayaan Syafiq apabila filem Misteri Dilaila itu berjaya mencecah kutipan pecah panggung RM8.8 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam tanah air,” katanya.

Dalam perkemba­ngan lain, Iz turut terbabit dengan penggambaran drama bersiri Hero 2 dengan melakonkan watak anggota bomba iaitu Dahlan.

Selain itu, dia juga bakal terbabit dengan penggambaran projek filem seram thriller yang masih dalam peringkat praproduksi.

Tidak ketinggalan, dia juga dalam perancangan menghasilkan single duet terbaru bersama pelakon dan pe­ngacara Sarah Hildebrand tidak lama lagi.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 5:30am
d