utama

Penjaja malang

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Mohamad Hussin

KUALA LUMPUR: Syawal yang dinanti pasti suram bagi kira-kira 30 penjaja Bazar Melayu Masjid India di sini, apabila gerai mereka musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, semua gerai berkenaan musnah 100 peratus dan kebanyakan penjaja baru saja memenuhkan bekalan barangan di premis masing-masing untuk dijual sempena dua minggu terakhir Ramadan.

Namun, semua barangan perniagaan mereka musnah dalam kebakaran itu.

Malah, kebanyakan penjaja yang terjejas akibat kebakaran itu mengaku tidak menduga kejadian berkenaan boleh berlaku selepas lebih 20 tahun berniaga di situ.

Peniaga, Surayati Hashim, 45, berkata, kebakaran itu menyebabkannya kerugian lebih RM30,000 selepas barangan diletakkan di dalam gerai seperti jam tangan dan minyak wangi hangus.

“Ketika kebakaran, saya berada di rumah di Wangsa Maju sebelum menerima panggilan daripada rakan pada jam 1.30 pagi memaklumkan Bazar Melayu Masjid India terbakar.

“Sebaik tiba di lokasi lebih kurang jam 2 pagi, saya tergamam dan hilang kata-kata apabila mendapati gerai saya serta beberapa gerai lain musnah terbakar dan ia hanya tinggal rangka saja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Surayati berkata, dia dan kebanyakan peniaga lain baru saja memenuhkan bekalan di gerai mereka untuk mencari pendapatan lebih bagi menyambut kedatangan Syawal.

“Memang kebanyakan kami baru saja memenuhkan bekalan perniagaan di gerai masing-masing kerana jualan di sini baru saja rancak selepas dua minggu Ramadan.

“Jadi, kebanyakan kami tambah bekalan berikutan baki dua minggu terakhir Ramadan ini lebih ramai pelanggan datang untuk membeli-belah di sini, namun kami tidak sangka pula akan ditimpa musibah begini,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak tahun 2000.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bazar Melayu Masjid India Hamidi Abd Hamid berkata, ketika kebakaran berlaku operasi di bazar berkenaan sudah tamat dan tiada pelanggan di sekitarnya.

Hamidi berkata, pihaknya bersyukur kerana kebakaran tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa namun bersimpati dengan nasib penjaja yang ditimpa musibah.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 6:30am
d