utama

Mengamuk nak bakar stesen minyak

Oleh Rosli Ilham

BERANG ditegur selepas cuba menyalakan rokok di sebuah stesen minyak di Bandar Chukai, lelaki warga Myanmar naik hantu apabila mengugut mahu membakar stesen minyak berkenaan.

Kejadian berlaku jam 9.30 malam tadi selepas tindakan suspek berusia 30-an yang cuba menyalakan rokok disedari pelanggan yang kemudiannya menegur lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, teguran itu mengundang kemarahan suspek sehingga dia bertindak mengambil satu pam minyak dan menghayunkan ke arah orang ramai yang cuba menenangkannya.

Beliau berkata, suspek turut menjerit mengugut mahu membakar stesen minyak berkenaan menyebabkan orang ramai ketakutan dan menjauhkan diri dari kawasan itu.

“Selepas hampir 30 minit mengamuk, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan ujian saringan awal kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu, suspek juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) ( c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 3:48pm
d