utama

Malang sekelip mata

Oleh Agensi

MEXICO CITY: Seorang budak perempuan mengalami lecuran teruk selepas kebakaran akibat elektrik statik yang tercetus daripada bajunya ketika ayahnya mengisi minyak dalam bekas.

Ketika kejadian di Querétaro itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun berdiri di belakang pikap bapanya dan memegang bekas digunakan ketika lelaki itu mengisi petrol ke dalamnya.

Bagaimanapun, tiba-tiba percikan api tercetus sebelum meletup menjadi bebola api besar yang menyambar kanak-kanak itu dalam hanya beberapa saat.

Bapanya yang terkejut melepaskan hos dipegangnya, tetapi ketika itu api merebak dengan cepat ke pam petrol menyebabkan pelanggan lain di situ bertempiaran menyelamatkan diri.

Bapa berkenaan terus berlari membantu anaknya sebelum video sepanjang 10 saat itu berakhir.

Sementara itu, seorang pegawai Querétaro mengesahkan kejadian berlaku akibat gabungan elektrik statik pada pakaian kanak-kanak itu serta wasap daripada petrol berkenaan.

Dua beranak itu dibawa ke hospital dan masih dirawat, tetapi kedua-duanya dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 6:00am
d