utama

'Pakej maut' RM2,500

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Mohd Hafizee Mohd Arop

SINDIKET penyeludupan menawarkan pakej RM1,000 hingga RM2,500 kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia yang mahu pulang ke kampung menyambut Aidilfitri melalui laluan tidak diwartakan di negeri ini.

Ketiadaan dokumen sah atau tamat tempoh menyebabkan Pati Indonesia sanggup memperjudikan nyawa pulang ke negara asal dengan nekad mengambil ‘pakej maut’ ditawarkan sindiket terutama pada minggu kedua Ramadan.

Pakej ditawarkan sindiket itu mendedahkan mereka dengan ‘mati katak’ kerana selain terpaksa bersesak-sesak dalam bot pancung yang menempatkan sehingga 250 penumpang pada satu masa, mereka juga tidak dibekalkan jaket keselamatan.

Malah, bot yang padat bagai tin sardin itu turut berdepan kemungkinan seperti karam dipukul ombak besar, ditahan pihak berkuasa atau bertembung dengan kapal besar di perairan negara.

Bagaimanapun, pakej ditawarkan cukup menguntungkan sindiket kerana setiap perjalanan dengan purata RM1,000 bagi setiap Pati, mereka mampu meraih sehingga RM150,000 bagi 150 penumpang.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, permintaan tinggi dalam kalangan Pati menyebabkan jaringan sindiket semakin aktif pada Ramadan.

Katanya, sindiket membawa pulang Pati ini membabitkan satu organisasi dan rangkaian berstruktur bermula dari ketua sindiket hingga ke tekong bot atau darat.

“Hasil siasatan dilakukan, setiap Pati dikenakan kadar bayaran antara RM1,000 hingga RM2,500 bergantung jenis perkhidmatan disediakan dan lokasi.

“Wang yang diperoleh itu diagihkan mengikut pembahagian tugas membabitkan ketua sindiket, perancang, transporter, tekong darat, kru kapal dan tekong laut,” katanya ketika ditemui di pejabat PPM Wilayah Dua Tampoi di sini.

Menyentuh mengenai modus operandi sindiket, Paul Khiu berkata, khidmat menghantar pulang hanya ditawarkan selepas dihubungi Pati dan caj tertentu dikenakan sebagai bayaran kepada pakej yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Pakej ditawarkan sindiket ini tertakluk kepada jarak. Kadar juga semakin tinggi jika jarak perjalanan jauh dan caj tambahan dikenakan.

“PATI yang bersetuju menggunakan pakej ini dihantar dari tempat asal melalui jalan darat termasuk menggunakan bas, van dan kenderaan persendirian hingga ke satu tempat dikenal pasti,” katanya.

Katanya, PATI dikumpulkan di lokasi rahsia dikenali sebagai lokasi transit.

“Biasanya lokasi itu dekat dengan pantai, selain tempat yang terpencil termasuk di kawasan estet.

“Paling tidak pun sindiket menjadikan lokasi transit di dalam kawasan hutan yang tidak disyaki orang luar sepanjang PATI di tempatkan sementara di situ,” katanya.

Katanya, bagi memastikan kos lebih ekonomik, PATI hanya dibawa menaiki bot pancung sehingga jumlahnya cukup untuk setiap kali keluar dari negara ini.

Beliau berkata, sebaik jumlah PATI mencukupi, mereka dibawa keluar dari tempat transit dan berjalan ke pantai berkenaan.

“Bot pancung ini menunggu beberapa ratus meter dari gigi air dan PATI bergerak dan berjalan kaki dalam air laut untuk menaiki bot.

“Jarang sekali bot pancung bergerak pada waktu siang. Lazimnya pada waktu gelap terutama pada awal pagi.

“Mereka juga memilih bergerak pada waktu air pasang kerana memudahkan pergerakan kerana air tidak cetek dan mereka boleh masuk hingga ke tepi pantai,” katanya.

Katanya, keadaan Pantai Barat yang berlumpur menyebabkan modus operandi sindiket membabitkan bot nelayan tradisional.

“Modus operandi mereka juga berbeza dan lebih gemar menggunakan bot nelayan atau sampan.

“Biasanya mereka membawa peralatan menangkap ikan seperti jaring dan membawa PATI dalam jumlah sedikit antara lima hingga 20 orang bagi setiap kali perjalanan,” katanya.

Selain itu, katanya, disebabkan keadaan sungai dan parit yang kecil menyebabkan bot pancung yang lebih besar tidak selamat masuk ke kawasan terbabit.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 7:00am
d