utama

Anjing menyalak jadi penyelamat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“SAYA mendengar anjing menyalak berhampiran tong sampah berkenaan sebelum memeriksanya,” kata pengawal keselamatan yang menemui bayi yang ditinggalkan di dalam tong sampah di Ampang Jaya, hari ini.

Bayi lelaki yang masih hidup itu ditinggalkan di dalam tong sampah di hadapan kedai serbaneka di Jalan 4/6B, Pandan Indah sebelum ditemui kira-kira 6 pagi oleh lelaki berkenaan.

Dia yang enggan dikenali berkata, kebiasaannya anjing di kawasan itu tidak akan menyalak dengan kuat terutama pada waktu pagi.

“Curiga dengan keadaan itu saya kemudian memeriksa tong sampah sebelum mendengar tangisan bayi yang sangat kuat.

“Namun saya terkejut melihat bayi lelaki yang masih hidup di dalam tong sampah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka, Siti Norain Mohd Alias berkata, kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum pasukan perubatan tiba.

“Bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan dibalut menggunakan kain berwarna biru dan dilapik menggunakan kotak.

“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital oleh pasukan perubatan yang tiba,”katanya.

Menurutnya, lokasi penemuan bayi itu hanya terletak kira-kira 50 meter dari masjid.

“Ini adalah kejadian pertama di kawasan ini dan sangat mengejutkan saya kerana berlaku betul-betul di hadapan kedai,”katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 12:56pm
d