utama

Lapor perangai suami miang

Oleh Norizuan Shamsuddin dan Nurul Hidayah Bahaudin

TERTEKAN sikap suami yang gemar berfoya-foya di kelab malam sambil berkepit dengan pelayan pelanggan (GRO) mendorong segelintir suri rumah mengadu dengan menghantar surat, e-mel, surat layang dan WhatsApp kepada Jabatan Imigresen agar menggempur premis hiburan yang kerap dikunjungi suami mereka.

Malah, ada antara isteri yang membuat aduan itu beranggapan suami mereka terjerat dengan godaan GRO warga asing sehingga terjebak hubungan terlarang menjadi perempuan simpanan.

Selain isteri, aduan juga diterima daripada ahli keluarga lain termasuk anak dan ipar yang memaklumkan perilaku sumbang bapa serta abang atau adik ipar mereka yang terbabit kegiatan tidak bermoral.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada ahli keluarga individu yang terbabit dengan aktiviti tidak bermoral seperti perjudian, pelacuran dan lain-lain di premis sekitar ibu kota.

“Secara purata, kami menerima lebih 100 aduan setiap bulan sejak Januari hingga Disember tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan 1,387 aduan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 792 aduan pada 2017.

“Bagi tempoh Januari hingga April lalu, kami menerima 449 aduan menerusi pelbagai saluran iaitu panggilan telefon, surat layang, emel, mesej ke saluran rasmi dan biro aduan rasmi JIM Kuala Lumpur,” katanya.

Hamidi berkata, golongan isteri yang membuat aduan turut mendedahkan suami mereka kerap menghabiskan masa berkunjung ke pusat hiburan dan tidak pulang ke rumah sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.

“Antara aduan diterima keluhan isteri yang meminta serbuan dilakukan di premis sering dikunjungi suami mereka kerana merasakan kewujudan pusat hiburan berkenaan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.

“Ada antara suami yang bermasalah di tempat kerja memilih melepaskan tekanan dengan berhibur di pusat hiburan. Bermula dari situ, mereka mula terjebak dengan layanan GRO.

“Ada antara suami meninggalkan isteri dalam tempoh panjang tanpa diberikan nafkah akibat hanyut dengan belaian GRO warga asing sehingga terlupa pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, operasi dijalankan secara konsisten bukan saja menahan pendatang asing tanpa izin (Pati), malah membantu mengurangkan masalah kekeluargaan dihadapi sesetengah individu.

“Pada Januari hingga April lalu, 51 serbuan Operasi Gegar (Op Gegar) membabitkan premis hiburan dan pusat urut dijalankan sekitar ibu kota. Daripada serbuan itu, 399 warga asing berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan.

“Mereka terdiri daripada GRO dan pekerja premis hiburan dari Thailand, Vietnam, China, Indonesia dan lain-lain. Operasi itu menyebabkan pihak berdepan masalah (isteri) lega kerana dapat mengekang aktiviti tidak bermoral terutama membabitkan warga asing di pusat bandar ini,” katanya.

Katanya, warga asing yang ditahan dituduh ke mahkamah atas kesalahan dilakukan termasuk menyalahgunakan pas lawatan, tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan diri sah.

“Selepas hukuman, warga asing terbabit disenarai hitam dari memasuki negara ini selama lima tahun sebelum diusir ke negara asal. Walaupun tindakan tegas diambil, masih ramai warga asing terbabit kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan perjudian masuk ke negara ini.

“Ini kerana permintaan terhadap kegiatan itu (pelacuran dan perjudian) tinggi dalam kalangan warga tempatan sekali gus menyebabkan pelbagai helah digunakan mereka untuk lolos ke negara ini termasuk menjadi pasangan (suami isteri) kepada individu warganegara,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2019 @ 7:00am
d