utama

'Harap mama tak lupakan kami'

Oleh Siti Rohana Idris

“TAK nak balik... cuma nak jumpa mama sahaja, tapi tak tahu hilang kat mana,” kata kanak-kanak yang dihalau ibu saudara ketika menumpang di rumah wanita itu di Melor, Kota Bharu awal Februari lalu.

Alif (bukan nama sebenar), 9 dan kakaknya, Alia, 12, kini menetap di Villa Raudhah, iaitu rumah perlindungan milik aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman di Kampung Pasir Pekan, di Tumpat, selepas dihubungi seseorang supaya menjemput dua beradik itu ketika ditemui berkeliaran dan menangis di tepi jalan.

Alif berkata, dia dan kakaknya hanya berharap dapat dipertemukan semula dengan ibunya yang menghilangkan diri lebih setahun lalu, selain mahu menziarah kubur arwah datuk di pagi Syawal.

Katanya, bukan mereka enggan pulang beraya di rumah ibu saudara tapi bimbang pengalaman pahit dipukul dan dimarahi berulang.

“Bapa baru beberapa hari ditangkap semula oleh pihak berkuasa kerana menagih dadah dan mama pula hilang entah ke mana sejak lebih setahun lalu.

“Saya masih ingat lagi muka mama... kami harap mama tidak akan melupakan kami berdua dan suatu hari nanti akan bersatu kembali.

“Saya dan kakak seronok tinggal di rumah Umi (Faizah) serta dapat kembali bersekolah dan makan sedap,” katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan, mereka masih mempunyai tiga adik beradik lain tapi masing-masing sudah berumah tangga dan menetap di luar Kelantan, namun mengetahui dua beradik itu berlindung di Villa Raudhah dan dalam keadaan selamat.

Alia berkata, sangat besar perbezaan yang dialami mereka berdua ketika menumpang di rumah ibu saudara berbanding menetap di Villa Raudhah yang dianggap sebagai syurga buat mereka.

“Jika dulu (ketika menumpang), kami selalu dimarahi dan dipukul, makan pun kadang-kadang sahaja diberikan.

“Tapi di sini seronok, ada kawan lain lagi yang kami anggap seperti kakak dan abang malah ketika berbuka puasa serta bersahur, suasana agak meriah dan kami tak sabar nak menyambut hari raya nanti,” katanya.

Alif dan Alia adalah antara 14 anak prihatin iaitu mereka yang terdiri dari anak yatim, terbiar dan asnaf miskin yang menetap di Villa Raudhah sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Di bawah seliaan Faizah, anak prihatin itu dijaga sebaiknya termasuk diberikan pelajaran, dibantu dari segi kewangan dan diberi jaminan perlindungan untuk mereka yang diabai oleh keluarga.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 8:55am
d