utama

Samirah dapat sambut Aidilfitri bersama keluarga

Oleh Zanariah Abd Mutalib

ISTERI Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, hari ini sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh suaminya.

Dia dilihat meninggalkan perkarangan Istana Kehakiman kira-kira jam 12.40 tengah hari dengan menaiki kereta berwarna hitam, bersama tiga ahli keluarganya melalui laluan lokap mahkamah di aras bawah tanah.

Samirah dilihat menutup wajahnya dengan selendang hitam ketika memasuki kenderaan.

Petugas media yang menunggu di Mahkamah Persekutuan sejak jam 8.30 pagi bagaimanapun gagal mendapatkan komennya.

Terdahulu, beberapa ahli keluarganya hadir di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan jam 11.40 pagi bagi membayar wang jaminan.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Samirah, 44, yang didakwa membunuh suaminya, untuk dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 serta dua penjamin.

Keputusan itu dibuat panel lima hakim diketuai Tan Sri Azahar Mohamed.

Azahar dilaporkan berkata, alasan utama Mahkamah Tinggi sebelum ini bahawa pemohon mungkin akan mengganggu saksi jika dibebaskan adalah dakwaan yang samar dan tanpa bukti.

Azahar dipetik berkata, Mahkamah Tinggi juga gagal untuk mengambil kira wanita yang menghadapi tuduhan membunuh yang sedang menunggu perbicaraan dibenar untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Selain itu katanya, pemohon juga mempunyai dua anak kecil di bawah usia lima tahun yang memerlukan penjagaan serta perhatiannya, selain dia sebelum ini memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah turut menetapkan lima syarat terhadap Samirah berikutan keputusan itu iaitu dia perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri kepada balai polis terdekat sekali dalam tempoh dua minggu dan perlu berada dalam rumah dari jam 6 petang hingga 8 pagi.

Selain itu, dia juga tidak boleh berada di sebarang tempat umum dan menghadiri sebarang majlis umum kecuali untuk tujuan keagamaan dan hal ehwal keluarga, selain dia tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya tanpa kebenaran mahkamah.

Pada 10 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Samirah untuk dibebaskan dengan ikat jamin, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini yang menolak permohonan ikat jamin Samirah.

Pada 11 April lalu, Samirah yang juga tertuduh pertama dalam kes pembunuhan CEO Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan gagal mendapatkan jaminan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 12 Mac lalu, Samirah serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, dua tertuduh juvana berkenaan dibenarkan ikat jamin pada 27 Mac lalu, masing-masing dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

Perbicaraan kes pembunuhan itu sebelum ini ditetapkan bermula 3 September depan.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 1:42pm
d