utama

Derita Rais Rafael

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BARU saja selesai menjalani pembedahan membuang mata kiri beberapa hari lalu, seorang kanak-kanak di Flat Residensi, Teluk Bahang, Georgetown kini perlu menjalani satu lagi pembedahan mega bagi merawat kanser dihidapinya.

Kanak-kanak itu, Rais Rafael Rozaidi, 3, turut memerlukan dana sebanyak RM33,000 bagi menampung pembedahan terbabit.

Ibunya, Noraisyah Fathin Che Azmi, 31, berkata kanser yang dialami anak sulungnya itu mula dikesan selepas dia mengalami sakit mata secara berterusan sejak Disember tahun lalu.

Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan di beberapa klinik, doktor kemudian merujuk Rais Rafael ke Hospital Pulau Pinang (HPP) apabila keadaan mata kirinya didapati tidak normal sebelum disahkan mengidap kanser ‘Retinoblastoma Extraoccular’.

“Rais Rafael menjalani tiga kimoterapi sebelum pembedahan membuang mata kirinya namun kanser terbabit didapati sudah berada di tahap empat dan sudah merebak ke bahagian tulang rusuk.

“Sepatutnya dia sudah menjalani pemindahan tulang sum-sum (stemcell transplant) dan kerana kekurangan dana, ia terpaksa ditangguhkan namun saya bimbang sekiranya keadaan kesihatan Rais Rafael tidak stabil dengan tiba-tiba,” katanya lagi.

Noraisyah Fathin berkata, pendapatannya sebagai penjual kuih yang diusahakan bersama suami, Rozaidi Mohamed, 31, juga tidak seberapa selain menanggung seorang lagi anak, Rizq Rizqi yang berusia dua tahun.

Katanya, mata kiri Rais Rafael kini digantikan dengan mata palsu dan keadaannya amat positif malah aktif seperti kanak-kanak seusianya.

“Ketika dia mula disahkan mengidap kanser, saya rasa kehidupan ini seolah-olah tidak bermakna, namun selepas berjumpa dengan ramai ibu bapa pesakit kanser, saya mula positif bagi menghadapinya.

“Memang kasihan lihat anak yang masih kecil perlu menanggung derita sebegitu, namun saya perlu kuat dan bersama-sama Rais Rafael bagi melawan penyakit itu,” katanya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB milik Noraisyah Fathin bernombor 7054122450.

Terdahulu, Noraisyah Fathin ditemui ketika menerima kunjungan pengurusan Hotel The Light, Seberang Jaya yang diketuai Pengarah Pemasaran dan Komunikasi The Light Hotel Sdn Bhd, Siti Fatimah SME Packeer Mohd dan Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Tayib.

Siti Fatimah berkata, kunjungan berkenaan adalah bagi menziarahi Rais Rafael selepas menjalani pembedahan mata selain menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada keluarga terbabit.

“Daripada kunjungan ini, kami akan meneliti semula sumbangan yang sesuai bagi membantu Rais Rafael dalam melawan penyakitnya atau bantuan lain yang diperlukan keluarga berkenaan.

“Ia adalah antara program yang dijalankan pengurusan hotel ini sempena Ramadan dan kami turut memberi sumbangan kepada dua lagi kanak-kanak pengidap kanser serta dua ibu tunggal di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 5:29pm
d