utama

3 maut tercampak dari kenderaan, 7 cedera [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

TIGA wanita maut, manakala tujuh lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki berlanggar dengan treler di Kilometer 42 Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu, hari ini.

Kejadian 1.40 tengah hari itu mengakibatkan tiga penumpang pacuan empat roda Toyota Fortuner, Gensa Unggau, 36, Nuai Bakar, 24, dan Lengidi Koling, 58, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Fortuner dipandu Ngindang Bau, 62, hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh treler yang datang dari arah hadapan.

“Akibat pertembungan itu, kereta dari arah Bintulu menuju ke Miri terbabas ke bahu jalan dan tiga penumpang tercampak dari kenderaan terbabit dan maut.

“Pemandu cedera di kepala manakala, enam penumpang lain termasuk dua kanak-kanak berusia satu dan lima tahun cedera.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Alexson berkata, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 1.45 tengah hari.

“Setibanya di tempat kejadian didapati tiada mangsa tersepit kerana semuanya sudah dikeluarkan oleh orang awam.

“Tiga wanita didapati meninggal dunia di lokasi manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Bintulu,” katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa serta tujuh lagi penumpang Toyota Fortuner itu dalam perjalanan untuk membeli persiapan menyambut perayaan Gawai Dayak.

Mereka adalah korban pertama dalam Ops Selamat sempena perayaan Gawai dan Aidilfitri 2019.

Operasi berkenaan dilancarkan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, di Kubah Ria, Kuching, pagi hari ini.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 8:06pm
d