utama

Kempen hulur bantuan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Dalam usaha membantu mereka yang memerlukan, syarikat produksi Digital Durian Sdn Bhd yang menerbitkan siri animasi Islamik popular, Omar dan Hana melancarkan kempen Box of Kindness dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Islamic Relief USA (IRUSA).

Usaha ini turut mendapat sokongan LaunchGood bagi meringankan beban masyarakat pelarian dan golongan memerlukan. Dalam tempoh dua minggu pertama dilancarkan, tabung Box of Kindness berjaya mengumpul RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, program itu inisiatif IRM bersama Digital Durian untuk menyebarkan isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia di samping mengajak orang ramai meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Kami menekankan isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia supaya masyarakat lebih peka dan mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan. Menerusi kerjasama dengan Digital Durian, saya yakin lebih ramai rakyat Malaysia akan tersentuh hati untuk membantu mengurangkan bebanan mereka.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan kutipan RM50,000 tetapi berjaya mencatat kutipan melebihi sasaran awal iaitu RM100,000. Lebih ramai orang di Malaysia dan luar negara sebenarnya memerlukan pertolongan.

“Usaha ini masih diteruskan dan kami menyeru masyarakat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan supaya semua golongan yang memerlukan dapat merasai keindahan Ramadan dan kemeriahan Syawal” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail berkata, menerusi projek ini masyarakat bukan saja dapat menyumbang wang tunai, malah dapat menyelami jerih-perih yang dialami insan memerlukan menerusi animasi Cerita Sufi -Tak Pernah Sendiri.

Ia mengisahkan mengenai keperitan hidup Sufi, seorang kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai ibu bapa apabila kebanyakan kisah sebegini tidak didedahkan kepada orang ramai.

Kisah ini berupaya mendidik masyarakat tanpa mengira usia untuk menyantuni orang lain khususnya golongan yang memerlukan.

Menerusi kerjasama itu, tiga pakej sumbangan sudah dibuka iaitu RM150, RM180 dan RM300 yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak IRM.

Hasil kutipan awal sebanyak RM76,526 sudah didermakan kepada IRUSA manakala RM31,363 kepada IRM.

Sasaran utama Kempen Box of Kindness with Omar & Hana adalah untuk menyokong kempen IRM iaitu Ramadan Care4Hunger menerusi sumbangan pek makanan kepada kanak-kanak dan keluarga dari serata dunia pada bulan Ramadan ini dan projek lain yang berpotensi membantu kanak-kanak pelarian.

Usahasama dengan LaunchGood yang juga platform pengumpulan dana di Amerika Syarikat akan turut membantu menyebarkan kempen berkenaan di rantau itu.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 5:00am
d