utama

Kawan naik hantu

Oleh Agensi

KIEV: Seorang budak lelaki berusia 14 tahun dan anak kepada seorang lelaki kaya di Ukraine dihukum penjara kerana membunuh rakannya ekoran tidak berpuas hati akibat kalah dalam permainan video.

Mahkamah diberitahu, budak lelaki yang dikenali sebagai Vasily Turda baru dibelikan bapanya satu set permainan video dan dia terus mengajak rakannya, Vasya Pop, 15, untuk bermain bersama.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam bermain permainan video itu Turda tidak berpuas hati kerana sering kalah kepada Pop menyebabkan dia mengambil sebilah pisau dan membunuh rakannya itu.

Seorang saksi memberitahu mahkamah, Turda menetak leher rakannya ketika mereka bermain permainan video itu di tingkat dua rumahnya yang terletak di Nizhnyaya Apsha, sebuah kawasan elit di Ukraine.

“Dalam keadaan leher berlumuran darah, Pop melarikan diri ke tingkat bawah dan dikejar Turda.

“Mayat mangsa ditemui dengan 27 kesan tikaman,” katanya.

Polis juga menunjukkan gambar kesan jejak darah di rumah besar berkenaan.

“Dia terus menikam anak lelaki saya walaupun dia sudah mati,” kata bapa mangsa, Mikhail.

Menurut laporan pihak berkuasa, pergaduhan antara dua remaja berkenaan dipercayai tercetus akibat keputusan permainan video tetapi tajuk permainan itu tidak didedahkan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun, enam bulan terhadap Turda atas kesalahan membunuh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan dilaporkan merayu keputusan itu dan meminta mahkamah meningkatkan hukuman penjara kepada 15 tahun.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 5:30am
d