utama

Pemandu Grab selamat, peluru bergeser di kepala

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

NYAWA seorang pemandu Grab masih panjang selepas terselamat walaupun sekurang-kurangnya dua das tembakan dilepaskan ke arah kepalanya, dalam kejadian di Jalan Matang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa dipercayai berusia awal 30-an terselamat namun mengalami kecederaan di kepala akibat terkena geseran peluru daripada senapang buatan sendiri itu.

Sumber berkata, mangsa ketika ditemui berada dalam keadaan kebingungan selepas ditembak lelaki Indonesia dengan bahagian luar bajunya dilumuri darah.

“Mangsa mengambil suspek di Kuching Sentral dan diarahkan suspek berhenti di Jalan Matang, berdekatan ladang strawberi. Ketika melalui jalan berkenaan, suspek memberi arahan agar mangsa memberhentikan kenderaannya.

“Mungkin kerana berang dengan tindakan mangsa yang enggan mematuhi arahannya, suspek melepaskan tembakan. Mujur peluru hanya bergeser di kepala mangsa,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai mengesahkan kejadian tembakan berkenaan membabitkan senapang patah buatan sendiri.

“Sepasukan pegawai dan anggota kini berada di kawasan kejadian untuk siasatan lebih terperinci, manakala satu lagi pasukan sedang menyoal siasat mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 8:19pm
d