utama

'Buat kerjalah, bukan nak bunuh diri...' [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

DISANGKA cuba membunuh diri, dia terpaksa berbuka puasa di balai polis, semalam.

Itu yang berlaku kepada Asyraf Azlin, 24, yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Semalam, tular di media sosial video dan gambar Asyraf dikatakan cuba membunuh diri dari tingkat atas sebuah hotel.

Menurut Asyraf, pada jam 3 petang dia berada di bumbung hotel tempat dia bekerja untuk melakukan penyelenggaraan.

“Ketika itu saya berada di tingkat atas untuk menjalankan rutin bulanan menyelenggara sistem air panas.

"Saya ada berlegar-legar di kawasan lapang tingkat atas itu menjawab panggilan telefon.

“Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian pengurus hotel datang kepada saya dan bertanya sama ada saya dalam keadaan baik,” katanya.

Asyraf berkata, dia hairan apabila ditanya dengan soalan itu.

“Pengurus memberitahu ada menerima laporan bahawa ada individu yang cuba membunuh diri dan mereka menyangka saya adalah orangnya.

“Ketika itu, pihak bomba dan polis sudah bersiap sedia di bahagian bawah dan sedang mencari mayat,” katanya.

Menurutnya, dia dibawa ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan.

“Setiba saya di balai polis, polis menunjukkan video individu yang cuba membunuh diri dari atas bumbung hotel dan individu itu adalah saya.

“Saya jelaskan, saya berada di situ bukan untuk membunuh diri tetapi buat kerja penyelenggaraan. Saya berlegar-legar di kawasan lapang atas bumbung tu sebab jawab panggilan telefon, ” katanya.

Asyraf berkata, selepas lebih empat jam memberi keterangan bagi membantu siasatan baru dia dibenarkan pulang.

“Saya terpaksa berbuka di balai polis. Kejadian ini agak lucu tetapi memberi pengajaran kepada saya.

“Ramai yang mesej memberi kata semangat untuk tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya terutama rakan sekerja dan ahli keluarga. Mana ada saya nak bunuh diri, ” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 8:36pm
d