utama

Sanggup belajar memasak

Oleh Georgie Joseph

BAKAL menimang anak kedua dalam masa terdekat ini, pelakon Amar Asyraf cukup teruja. Malah, Amar sanggup belajar memasak bagi membantu isterinya Arna Salleh.

Amar berkata, hasrat itu terbit apabila memikirkan dia perlu menjaga keluarganya sebaik mungkin termasuk dari aspek pemakanan.

Ini kerana ketika anak sulung Amar, Taufiq dilahirkan, dia banyak membeli makanan di luar. Sebagai persiapan, pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu berusaha belajar resipi terbaik dan memasak di rumah.

“Saya memang sengaja belajar memasak baru-baru ini untuk memudahkan urusan dapur di rumah. Itulah antara perkara mengujakan yang saya buat sementara menunggu kelahiran anak kedua.

“Syukur, mereka pun boleh menerima masakan saya termasuk menu ‘egg benedict’ yang baru saya pelajari,” katanya.

Selain itu, Amar turut memutuskan untuk tidak pulang beraya di kampungnya di Masjid Tanah, Melaka tahun ini kerana mahu fokus kepada isterinya yang akan menjalani tempoh berpantang ketika itu.

“Tahun ini, saya tetap akan bercuti sempena Aidilfitri namun aktiviti banyak tertumpu kepada menjaga isteri dan anak. Saya juga masih akan mengadakan majlis Aidilfitri di rumah di Kuala Lumpur,” katanya.

Amar mendirikan rumah tangga dengan Arna pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Amar Taufiq pada 9 Julai 2014.

Bercerita mengenai karier lakonan, Amar mengakui sangat terkesan dengan situasi lakonan kebelakangan ini membabitkan pelakon baru.

“Saya lihat pelakon baru ramai yang tidak berani bersuara apabila membabitkan soal teknikal dalam lakonan mahupun pengarahan. Saya faham, mungkin mereka tidak mahu bersuara disebabkan masih baru.

“Bagaimanapun, ada masanya pelakon perlu tampil berani bertanya perkara yang mereka tidak faham. Contohnya jika dalam skrip ada bahagian yang tidak masuk akal,” katanya.

Dalam pada itu, Amar berkata, dia bakal sibuk menjalani penggambaran sehingga Ogos nanti. Menurutnya, dia sangat bersyukur tawaran tidak pernah putus datang padanya.

“Sekarang ini, saya akan terus memilih skrip yang terbaik untuk saya terima tawaran. Tidak kisahlah diberikan slot waktu perdana atau tidak, memang saya akan lihat dulu skrip serta pengarahnya.

“Saya juga terbuka untuk bekerja dengan mana-mana pengarah termasuk juga yang baru. Saya sukakan kejutan dan pada masa sama dapat meneroka kebolehan diri dengan cara mereka berkarya,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 5:00am
d