utama

Penipuan gred R

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERETA import terpakai ataurecond terutama kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun dikesan ada yang pernah kemalangan di negara asal sebelum dibaiki pulih dan dijual seperti harga kenderaan baharu di negara ini.

Kebanyakan kereta yang mengalami kemalangan ini dilelong dalam satu majlis lelongan di Jepun dan dibida pada harga kurang 1.5 juta Yen atau RM57,000 sebelum dijual di negara ini hingga mencecah lebih RM210,000.

Itu contoh harga sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) import terpakai atau recond Toyota Vellfire ZA 2.5 (2015) gred R yang dilelong di Jepun sebelum dijual pengedar kenderaan itu di negara ini.

Gred R merujuk kepada rating diberikan kepada kenderaan yang pernah mengalami kemalangan dan kemudian dibaiki semula.

Ia kemudian dijual hampir menyamai harga kenderaan gred 4.5 hingga 5 yang merujuk kepada kenderaan recond dalam keadaan sangat baik dan tidak pernah terbabit kemalangan.

Penipuan dalam industri penjualan kenderaan import terpakai itu didedahkan pengurus jualan sebuah syarikat pengedar kenderaan recond dari Jepun, Shahrul Nizam, 40-an.

Shahrul yang lebih 20 tahun berpengalaman dalam industri itu berkata, bagi kenderaan gred 4.5 dan 5 model sama, ia lazimnya dijual pada harga sekitar RM220,000 di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ramai pelanggan tertipu kerana menyangka kenderaan recond yang dibeli dalam keadaan baik seperti dinyatakan penjual tanpa menyedari mereka terbeli kenderaan gred R selain gred 1 hingga 4 atau lebih teruk kenderaan gred X yang mengalami kemalangan serius.

“Perkongsian maklumat mengenai penipuan yang berlaku dalam industri jualan kenderaan recond ini bukan bertujuan untuk menyerang mana-mana penjual kereta recond lain, sebaliknya sebagai tanggungjawab saya kepada pembeli bagi mengelak mereka ditipu.

“Ini kerana reputasi industri jualan kereta recond itu dirosakkan sendiri oleh segelintir pengedar atau penjual kereta recond yang tidak bertanggungjawab dengan tidak berlaku jujur kepada pelanggan,” katanya.

Shahrul berkata, selain kenderaan gred R itu, ada penjual di negara ini turut membawa masuk kereta recond gred X selain 2 hingga 4 yang pernah mengalami kemalangan atau kerosakan.

Katanya, pelanggan hanya menyedari kereta bermasalah selepas membuat pemeriksaan di pusat servis atau di bengkel membaiki kenderaan.

“Di Jepun, semakin rendah gred kereta yang dilelong, semakin rendah nilai harganya sehingga mencecah bawah harga 1 juta Yen atau RM38,000.

“Jadi, ada antara mereka yang tidak bertanggungjawab membawa masuk kereta ini untuk dijual kepada pelanggan selepas melakukan pembaikan bagi membuat keuntungan mudah.

“Isunya, bukan kerana kereta itu sudah dibaiki, sebaliknya adalah nilai jualan tidak sepadan dengan keadaan kenderaan itu. Selain itu, kerana ramai pembeli tidak dimaklumkan yang kenderaan recond dibeli pernah terbabit kemalangan dan kemudian dibaiki semula,” katanya.

Sementara itu, jurujual kereta recond Aqil Che Razak, mengakui faktor segelintir penjual membawa masuk kenderaan import terpakai bergred rendah dari Jepun adalah disebabkan permintaan daripada pelanggan sendiri.

Katanya, ada pelanggan tidak kisah membeli kereta gred rendah seperti R, X selain gred 1 hingga 4 yang pernah dibaiki semula.

“Bagi mereka, yang penting boleh mendapat kenderaan mewah dengan harga sedikit murah, mengenai sejarah kenderaan pernah terbabit kemalangan, mereka tidak mahu ambil tahu.

“Namun, bila kenderaan ada masalah barulah mereka datang mengadu sedangkan ketika pembelian mereka tidak langsung mahu bertanya sejarah kereta itu ketika berada di Jepun,” katanya.

Katanya, pelanggan sebenarnya mempunyai hak untuk mendapatkan atau melihat rekod atau auction report kenderaan yang ingin dibeli.

“Auction report ini dikeluarkan syarikat ketika lelongan dibuat di Jepun dan ia memaparkan secara lengkap bahagian kenderaan mana pernah mengalami kerosakan atau kemalangan.

“Maklumat lengkap itu termasuklah rating atau tahap kerosakan kenderaan dan berpandukan laporan itu, pelanggan boleh membuat penilaian sama ada untuk memilih kenderaan lain atau membelinya,” katanya.

Ditanya sama ada cukai import dan caj pengangkutan memainkan peranan menyebabkan harga kereta recond gred rendah dijual menyamai harga kereta gred tinggi, Aqil berkata, ia tidak logik berikutan harga itu sama bagi setiap kategori kenderaan.

“Biarpun kenderaan itu gred yang terbaik sekalipun seperti S atau gred 6, nilai cukai dan caj pengangkutan untuk membawa masuk ke negara ini sama saja dengan kereta recond gred rendah termasuk gred X.

“Jadi, tidak logik jika faktor itu dijadikan alasan oleh segelintir penjual tidak bertanggungjawab meletakkan harga cukup tinggi biarpun selepas kenderaan dibaiki.

“Ia kerana, kenderaan yang pernah mengalami kemalangan dan dibaiki semula itu tetap akan memberi masalah lain kepada pembeli pada masa akan datang, sekali gus menyebabkan kos penyelenggaraan meningkat,” katanya.

Aqil berkata, dalam pasaran kenderaan import terpakai di negara ini, kereta paling popular adalah Toyota Vellfire, Toyota Alphard, Toyota Estima, Toyota Harrier selain kenderaan jenama Honda seperti Odyssey, Lexus dan kereta buatan eropah seperti BMW serta Mercedes-Benz.

“Jenama lain yang turut dibawa masuk termasuklah Lamborghini, Ferrari, Porsche, dan McLaren.

“Kereta recond bukan saja diimport dari jepun, sebaliknya ada yang diimport dari United Kingdom (UK) dan Australia. Malah, kereta yang dibenarkan dibawa masuk pula mestilah kenderaan terpakai dan berusia lebih 12 bulan dan tidak melebihi 60 bulan atau lima tahun,” katanya.

Godam sistem tipu pelanggan

Bukan sekadar menyembunyikan maklumat penuh kenderaan pernah terbabit kemalangan, malah ada penjual kenderaan import terpakai atau recond turut menipu pelanggan apabila mengubah meter perbatuan (mileage) kenderaan yang dijual.

Dengan menggunakan perisian khas, mereka menggodam sistem meter bagi membolehkan catatan meter perbatuan yang tinggi diubah kepada lebih rendah.

Penipuan itu didedahkan oleh pengurus sebuah pusat servis kenderaan berkomputer, Akmal Abdul Razak yang mengakui banyak menerima kereta recond dengan meternya diubah suai.

Katanya, pengubahsuaian meter perbatuan itu pula langsung tidak diketahui oleh pembeli dan hanya mengetahui selepas membuat semakan berkomputer.

“Penipuan meter perbatuan itu mungkin nampak remeh, namun sebenarnya ia memberi risiko kepada pemilik yang tidak menyedari kenderaan mereka sudah berjalan cukup jauh.

“Ini kerana apabila semakin tinggi meter perbatuan sesebuah kenderaan, maka penjagaan lebih rapi diperlukan kerana ia membabitkan aspek jangka hayat peralatan seperti enjin, kotak gear dan sistem penyerap hentakan, tidak termasuk jangka hayat peralatan lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Akmal berkata, kebanyakan meter perbatuan yang dikesan di bengkelnya bukan saja membabitkan kereta recond buatan Jepun, malah membabitkan juga supercar recond buatan Eropah.

Katanya, ia termasuk jenama seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche dan McLaren.

Bawa pulang kereta sakit

Disangka membeli kereta baru, rupanya terbeli kereta sakit yang sudah dibaik pulih.

Itu nasib seorang lelaki yang berkongsi kisah membeli kenderaan import terpakai atau recond dari Jepun jenis Toyota Vellfire 2.4 Z keluaran 2014.

Lelaki mahu dikenali sebagai Hisham, 40, berkata dia hanya mengetahui kenderaan pelbagai guna (MPV) dibeli itu pernah terbabit kemalangan dan dibaik pulih selepas memperoleh laporan lelongan dengan bantuan sebuah syarikat.

Katanya, sebelum memperoleh laporan itu, dia sudah mengesyaki MPV berkenaan sakit berikutan mengalami masalah pada sistem pemanduan dan terpaksa menukar penyerap hentak.

“Kenderaan itu saya beli sekitar November 2017, tidak sampai sebulan saya hantar ke bengkel kerana tidak sedap memandunya sebelum dimaklumkan ada masalah pada bahagian penyerap hentak serta terpaksa menukarnya.

“Ketika itu, saya mengesyaki mungkin ada yang tidak kena pada MPV itu, namun tidak boleh memeriksa kerana tidak tahu caranya,” katanya.

Hisham berkata, bagaimanapun baru-baru ini dengan bantuan sebuah syarikat tempatan, dia berjaya memperoleh laporan mengenai keadaan kenderaannya yang ternyata adalah kenderaan ‘sakit’ yang dibaik pulih.

“Dalam laporan itu, dinyatakan kenderaan saya pernah mengalami kemalangan dan rosak pada bahagian belakang serta sisi kanan dengan diletakkan status gred R.

“Selepas lebih setahun pakai, baru saya tahu ia asalnya kenderaan ‘sakit’ sedangkan masa mula-mula membelinya, penjual mengatakan MPV itu berada dalam keadaan tip top (baik),” katanya.

Katanya, jika mengetahui MPV itu pernah kemalangan, pasti dia tidak akan membelinya.

“Biarpun ketika itu penjual turut memberikan potongan harga RM10,000 (untuk MPV terbabit) berbanding harga kenderaan berkenaan di pasaran,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 6:00am
d