utama

Pekebun, peniaga ada niat mengganas

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SEORANG pekebun dan penjual burger didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengganas, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nuurul Amin Azizan, 27, dan rakannya, Muhammad Syazani Mahzan, 27, didakwa sudah pergi ke Jogjakarta, Indonesia melalui Jakarta dengan niat melakukan perbuatan pengganas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2 ) jam 6.55 pagi, 26 April 2018.

Muhamad Nuurul Amin yang juga pekebun dan Muhammad Syazani bekerja sebagai penjual burger faham dengan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Othman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sebelum ini media melaporkan, Muhamad Nuurul Amin dan Muhammad Shazani ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 14 Mei 2019 di Kuala Muda, Kedah.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menerusi kenyataannya pada 16 Mei lalu dipetik berkata, kedua-dua lelaki terbabit berasal dari Kedah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis.

Pada masa sama di mahkamah berasingan, seorang pekerja restoran Hafiz Othman, 42, didakwa pergi ke Wilayah Sinai Mesir dari Malaysia melalui Kaherah dengan niat melakukan aktiviti aktiviti pengganas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Gate C1 Terminal Satelit KLIA jam 6.05 petang pada 17 Mei 2019.

Dakwaan terhadap ketiga-tiga lelaki itu adalah mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 6:15am
d