utama

Tarikan sambut Aidilfitri [METROTV]

Oleh Zaid Salim

KERJA-kerja akhir sebelum pembukaan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan bandar raya ini dan Kuala Nerus, giat dilakukan bagi memastikan aliran trafik lancar.

Antara persiapan itu termasuk pemasangan papan tanda dan lain-lain kerja berkaitan.

Jambatan itu akan dibuka bermula jam 7 pagi hari ini sehingga 17 Jun, sebagai tempoh percubaan sekali gus tarikan sempena kepulangan perantau sambut Aidilfitri.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan meminta pengguna jalan raya mematuhi arahan bagi mengelak kesesakan di atas jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu.

Katanya, pembukaannya adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem isyarat dan trafik serta penyuraian.

“Keberadaan jumlah kenderaan sempena Aidilfitri adalah waktu tepat untuk menjalankan ujian itu dan ia dijangka memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek siap sepenuhnya nanti.

“Tempoh percubaan itu nanti sekali gus akan memberi keselesaan kepada orang ramai menyambut Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin.

Beliau berkata, semua jenis kenderaan beroda dibenar menggunakan jambatan itu namun, tidak boleh berhenti di atas jambatan kerana boleh mengganggu kelancaran trafik.

“Orang ramai juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan kerana secara teknikal, jambatan ini masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

“Polis dan syarikat operator pengurusan jambatan akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga di dalam tempoh pengujian ini,” katanya.

Dr Ahmad Samsuri berkata, selepas fasa pengujian berakhir, jambatan itu akan ditutup semula bagi pentauliahan komponen lain dan tarikh pembukaan rasmi hanya akan dibuat selepas semua kerja selesai.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 6:15am
d