utama

Xpose Band tampil anggota baharu

Oleh Norhayati Nordin

XPOSE BAND yang popular dengan lagu Sandiwara pada 2017 nampaknya enggan ‘bersandiwara’ mengenai status bekas pemain gitarnya, Fakhrul. Xpose Band kini tampil dengan anggota baharu iaitu Shah Reza yang menggantikan Fakhrul.

Berbicara mengenai perkara itu, ketua kumpulan yang juga pemain bass, Eppy enggan berselindung lagi.

Katanya, penyingkiran Fakhrul terpaksa dibuat kerana kegagalannya memberi komitmen disebabkan masalah peribadi.

“Memahami situasi dihadapi oleh Fakhrul membuatkan kami perlu meneruskan perjuangan Xpose Band bersama anggota baharu.

“Pemilihan Reza pun kerana kami sudah kenal lama dan kami berempat yakin dia mampu menjaga disiplin dengan baik,” katanya.

Selain Epy dan Reza, Xpose Band dianggotai Furhan selaku penyanyi, Zaim (keyboard) dan Taqim (dram).

Ditanya adakah ada peluang kedua buat Fakhrul sekiranya mahu aktif bersama Xpose Band, Eppy berkata, kumpulan itu sudah mantap dengan lima anggota.

“Rasanya kami takkan menambah anggota kumpulan menjadi enam orang. Cukuplah Xpose Band bergerak secara berlima. Bagi saya, apa yang perlu giat dilakukan Xpose Band sekarang adalah menghasilkan lagu baharu yang terbaik dan berkualiti.

“Oleh itu, selepas melancarkan lagu duet berjudul Deru bersama penyanyi rap, W.A.R.I.S, kami mahu ketengahkan lagu kerohanian pula,” katanya.

Menurut Eppy, pemilihan genre itu berikutan Xpose Band melihat tidak banyak kumpulan rock muncul dengan lagu berunsur kerohanian.

Bagi Furhan pula, dia sangat teruja merakamkan lagu berkenaan kerana melodi ciptaan Eppy itu digabungkan dengan lirik puitis karya Siso Kopratasa.

“Kami merancang memilih judul Selagi Ada Nafas untuk lagu itu. Diharapkan semoga lagu kerohanian ini diterima baik pendengar.

“Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat terkesan dengan lirik Selagi Ada Nafas yang akan dilancarkan segera,” katanya.

Terdahulu, selain lagu Sandiwara dan Deru, Xpose Band juga tampil dengan lagu Maafkan Ku dan rakaman duet lagu Samar Bayangan bersama penyanyi Indonesia, Nicky Astria.

RAYA KALI KETIGA SEBAGAI SELEBRITI

Meraikan Aidilfitri Rabu ini bersama keluarga di kampung halaman di Melaka, ia adalah kali ketiga Xpose Band beraya sebagai selebriti.

Berkongsi pengalaman itu, Zaim berkata, kediamannya semakin ramai dikunjungi sanak saudara yang datang menziarah.

“Sejak aktif bersama Xpose Band, sambutan Aidilfitri dirai sangat meriah kerana tetamu yang datang ke rumah pun ramai. Malah, sejak hari raya pertama hingga beberapa hari seterusnya penampilan dari rambut sampai ke kaki memang dijaga.

“Dah tak boleh macam dulu, pakaian ‘selebet’ saja duduk di rumah. Sebagai selebriti, penampilan sangat utama dijaga,” katanya.

Menurut Zaim, yang pasti sambutan Aidilfitri dirai lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan dijalin dengan sanak saudara.

Bagi Taqim pula, banyak juga cerita boleh disembangkan bersama keluarga berbanding balik beraya sebelum bergelar selebriti.

“Sekarang, banyaklah cerita perkembangan karier Xpose Band dapat dikongsikan bersama keluarga terutama ibu bapa. Kalau dulu nak bersembang lama pun tak berkesempatan kerana tidak banyak cerita boleh dikongsi atau dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, Reza pula berkata dia meraikan Aidilfitri secara sederhana bersama keluarga kerana masih bujang.

Sebagai keluarga terkini Xpose Band dia belum dikenali memandangkan baru tiga bulan menyertai kumpulan itu.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 5:30am
d