utama

Galas tugas suami

Oleh Siti Rohana Idris

KIRA-kira setahun lalu, suami yang menjadi tulang belakang selama ini tiba-tiba diserang angin ahmar menyebabkan kehidupan mereka suami isteri terus berubah.

Tugas menguruskan suami selepas itu sepenuhnya tergalas di bahu Rubiah Harun, 59, disebabkan empat anaknya dan enam anak suami masing-masing hasil perkahwinan terdahulu tinggal berasingan di luar negeri.

Rubiah berkata, dengan kudratnya yang tidak seberapa, tugasnya bermula seawal pagi menyuapkan susu dan bubur nasi kepada suaminya, Mat Hussin Yaacob, 64.

“Ketika suami mula-mula diserang angin ahmar dulu, dia hanya mampu minum susu melalui tiub.

“Untuk mandi pula, saya hanya mengelap badannya dengan tuala lembap kerana tidak larat membawanya ke bilik air dan hanya dimandikan jika ada anak kami yang pulang ke rumah untuk memapah suami,” katanya di rumah mereka di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.

Mengimbas semula kejadian menimpa suaminya, Rubiah berkata, ketika itu, Mat Hussin minum petang di ruang tamu rumah sebelum terdengar namanya dipanggil.

Rubiah yang berada di dapur ketika itu segera mendapatkan suaminya yang lemah secara tiba-tiba dan melorot jatuh dari kerusi.

“Dengan bantuan anak saudara, suami dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan ketika itu suami mula tidak boleh bercakap hingga hari ini.

“Suami faham apa yang diperkatakan dan kami berkomunikasi dengan bahasa isyarat, cuma adakalanya saya tidak faham apa yang ingin diucapkannya,” katanya.

Rubiah berkata, sejak diserang angin ahmar, suaminya hanya terbaring kerana lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan disebabkan tidak pernah keluar mengambil angin, bahagian kiri serta kanan pinggulnya berkudis kerana sering mengiring.

Rubiah berkata, suaminya sebelum ini bekerja kampung dengan pendapatan RM500 sebulan, namun kini dia bergantung kepada anak untuk menampung kehidupan mereka.

“Saya juga memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun hingga kini belum mendapat maklum balas,” katanya yang berkahwin dengan suaminya sejak 2005.

Terdahulu, Mat Hussin menerima kunjungan daripada Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad yang menyerahkan katil, tilam dan kerusi roda untuk kegunaan Mat Hussin.

Sheikh Ahmad Dusuki berkata, POKB menerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) menyampaikan bantuan bagi membantu meringankan beban keluarga Mat Hussin, selain memberi keselesaan kepada pesakit itu sendiri.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 6:01am
d