utama

Kerajaan saman NFC RM235 juta

Oleh Murni Wan Omar

KERAJAAN Malaysia sudah memfailkan saman menuntut wang RM235 juta yang dipinjamkan kepada National Feedlot Corp (NFC) yang diuruskan oleh suami dan tiga anak kepada bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerajaan sebagai plaintif memfailkan saman itu pada Jumaat lalu dengan menamakan NFC, pengerusinya Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, sebagai defendan.

Pernyataan saman itu menyebut semua nama itu sebagai ‘Keluarga Salleh’.

Plaintif turut menamakan enam syarikat milik Keluarga Salleh iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (Malaysia) Sdn Bhd sebagai defendan.

Pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rumaizah Baharom pada 17 Jun ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa salah satu atau lebih daripada ‘Keluarga Salleh’ itu adalah pengarah kepada semua syarikat itu dan secara langsung atau tidak langsung memegang semua atau majoriti saham enam syarikat itu.

Plaintif mendakwa atas permintaan NFC, kerajaan Malaysia memasuki Perjanjian Kemudahan Pinjaman bertarikh 6 Disember 2007 yang memberi pinjaman sebanyak RM250 juta.

Ia didakwa bagi membiayai sebahagian kos penubuhan dan pengendalian Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Plaintif mendakwa atas permintaan NFC, kerajaan mengeluarkan pinjaman itu melalui Akaun Pinjaman Khas (APK) dalam tiga transaksi antara Januari 2008 hingga Mac 2009 iaitu pada 9 Januari 2008 sebanyak RM70 juta, pada 14 Oktober 2008 (RM60 juta) dan pada 31 Mac 2009 (RM120 juta).

Melalui surat daripada NFC, plaintif mendakwa mereka ada memohon kebenaran untuk mengeluarkan duit itu dan kerajaan Malaysia meluluskan pengeluaran lebih RM180 juta antara 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Plaintif mendakwa daripada semua jumlah itu, hanya sebanyak RM8,322,642.54 dibayar secara langsung kepada pelbagai pihak ketiga untuk membiayai kos melaksanakan projek.

Manakala baki sebanyak RM172.2 juta, plaintif mendakwa ia dibayar ke dalam akaun operasi Maybank dan CIMB milik NFC.

Pada setiap masa material, plaintif mendakwa akaun Maybank dan CIMB milik NFC itu dikawal sepenuhnya oleh Mohammad Salleh dan Wan Shahinur Izran yang juga penandatangan tunggal bagi kedua-dua akaun.

Plaintif mendakwa wang sebanyak RM118,040,076.79 disalahgunakan oleh Keluarga Salleh secara langsung atau melalui syarikat bagi tujuan yang tidak mempunyai kaitan dengan projek.

Antara salah guna itu ialah sebanyak RM9,758,140 juta digunakan untuk pembayaran sebahagian bagi dua kediaman yang dibeli oleh syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd serta RM300,000 digunakan untuk membayar Shamsubahrin Ismail bagi tujuan tidak didedah.

Setakat 30 April 2019, jumlah yang terhutang dan perlu dibayar oleh NFC kepada kerajaan ialah sebanyak RM253,618,455.03 bersama dengan faedah pada kadar 2 peratus setahun atas kiraan harian dari 1 Mei 2019 hingga tarikh penyelesaian penuh.

Kerajaan mendakwa Keluarga Salleh berkonspirasi dan bersubahat menipu apabila menggunakan pinjaman itu untuk manfaat diri mereka sendiri.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang berpatutan dan sesuai terhadap semua defendan.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 5:28pm
d